Tinggal dua

0
12



Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan hanya dua pasukan Pulau Pinang dan Pahang yang masih belum menyatakan sebarang persetujuan untuk melepaskan pemain mereka untuk menyertai skuad bawah 22 tahun (B-22) negara kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pasukan lain seperti Kedah, Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Terengganu, FELDA United, T-Team, Kuala Lumpur, FELCRA United, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, Petaling Jaya Rangers, Sarawak, Kelantan dan Johor DT II sudah menyerahkan surat jaminan untuk melepaskan pemain mereka secara berperingkat mulai hari ini.

“Kita masih menunggu jawapan daripada dua persatuan negeri ini (Pulau Pinang dan Pahang) berhubung isu ini. 12 pasukan lain sudahpun menghantar surat pengesahan untuk melepaskan pemain masing-masing.

“Semua pemain yang dilepaskan akan melaporkan diri secara berperingkat sehingga 12 Julai ini (Rabu) iaitu sehari sebelum aksi persahabatan bertemu skuad B-22 Myanmar pada Khamis,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad bola sepak wanita di Pusat Jeonsa, di sini, semalam.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, keengganan beberapa pasukan untuk melepaskan pemain mereka bagi menyertai kem latihan pusat skuad B-22 menyebabkan hanya enam pemain yang melaporkan diri pada sesi latihan pertama pada Rabu lalu.

Perkembangan terkini pula menyaksikan kini hanya dua pemain yang berada dalam skuad iaitu Syahmi Safari (Selangor) dan Ahmad Khairul Anuar Zamri (Perak) susulan mengalami kecederaan.

Empat pemain lagi dilepaskan Kim Swee untuk menyertai pasukan masing-masing bagi aksi Piala Malaysia dan juga Liga Super sebelum kembali melapor diri minggu hadapan.

Keadaan itu sekali gus memeningkan Kim Swee yang mahu mempersiapkan skuad kebangsaan menghadapi kempen kelayakan Piala AFC B-23 di Bangkok bermula 19 Julai ini selain saingan Sukan SEA pada pertengahan bulan depan.

Jelas Hamidin lagi, sekiranya Pahang dan Pulau Pinang tetap berdegil untuk tidak melepaskan pemain mereka, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan apa-apa tindakan ke atas kedua-dua pasukan berkenaan.

“Memang FAM tiada hak untuk mengambil tindakan ke atas pasukan yang tidak mahu melepaskan pemainnya, namun saya kira semua pihak memahami tentang keperluan khidmat pemain terbaik ini untuk melaporkan diri ke skuad B-22,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here