Tingkatkan eksport produk kecantikan, kata Matrade

0
31

KUALA LUMPUR: Eksport produk-produk kosmetik dan kecantikan buatan Malaysian perlu dipertingkatkan ke China, berikutan permintaan yang agak tinggi dari pasaran yang mengandungi 1.4 bilion orang, kata Perbadanan Pembangunan Perdadangan Luar Malaysia (MATRADE).

Dalam tempoh lapan bulan pertama 2017, produk kosmetik dan kecantikan menyumbang sebanyak 37 peratus daripada eksport gaya hidup di negara berkenaan berbanding 26 peratus yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun 2016.

Pengarah Bahagian Akses Pasaran dan Promosi Eksport untuk Farmaseutikal, Peranti Perubatan, Sains Hayat dan Gaya Hidup MATRADE, Abu Bakar Yusof, berkata eksport kosmetik dan produk-produk kecantikan Malaysia ke China masih tidak mencukupi.

Pada 2016, Malaysia mengeksport barangan kosmetik bernilai RM7.6 juta ke China atau 0.6 peratus daripada jumlah eksport negara yang berkaitan dengan produk tersebut, katanya kepada pemberita selepas seminar ‘Berhubung dengan Pasaran Kecantikan China’ yang dianjurkan secara bersama oleh MATRADE, Informa Exhibitions dan Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia di sini pada Isnin.

Abu Bakar turut menyeru pengeluar produk kosmetik dan kecantikan Malaysia untuk menembusi pasaran China dan membuat keuntungan daripada pengembangan permintaan di pasaran tersebut, beliau juga meminta mereka menyertai Ekspo Kecantikan China (CBE) di Shanghai pada 22 hingga 24 Mei 2018.

“Memandangkan China merupakan pasaran yang luas bagi produk-produk kecantikan Malaysia, pengeluar dan usahawan tempatan perlu memanfaatkan peningkatan permintaan dengan menyertai pameran antarabangsa seperti CBE.

“Ini juga akan membantu meningkatkan eksport gaya hidup Malaysia ke China pada tahun depan, khususnya produk-produk kecantikan dan kosmetik,” katanya.

Jumlah eksport kosmetik Malaysia adalah sebanyak RM796.9 juta dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

“Pada 2016, jumlah eksport kosmetik Malaysia adalah bernilai RM1.25 bilion, naik sebanyak 1.4 peratus berbanding dengan 2015.

“Eksport utama termasuk kosmetik dan alat solek, bernilai RM513 juta, diikuti dengan peralatan mandian (RM374.6 juta) dan produk penjagaan rambut (RM169.6 juta),” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here