Tolakan maut

0
421
Advertisement



Mumbai: Seorang jurulatih ditahan polis selepas menolak seorang pelajar perempuan dari tingkat dua sebuah kolej swasta ketika latihan menyelamat kebakaran hingga menyebabkan mangsa maut.

Rakaman video menunjukkan kepala N Lokeshwari, 19, terhantuk pada belebas konkrit selepas ditolak jurulatih itu di Kolej Seni dan Sains Kovai Kalaimagal di Coimbatore, pada Khamis lalu.

Kolej berkenaan dilapor mengadakan satu latihan kebakaran dan jurulatih itu meminta seorang pelajar menjadi sukarelawan untuk latihan menyelamat.

Lokeshwari yang menawarkan diri dilihat duduk di belebas di tingkat dua dan kelihatan enggan terjun ke bawah di mana sekumpulan pelajar lagi bersedia untuk menyambutnya menggunakan jaring keselamatan.

Jurulatih berkenaan, R Arumugham beberapa kali menyuruh Lokeshwari terjun tetapi lelaki itu tiba-tiba menolak mangsa ke bawah menyebabkan remaja itu berpusing sebelum kepalanya terhantuk di belebas.

Lokeshwari segera dibawa ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala dan leher.

Susulan kejadian itu, polis menahan jurulatih berkenaan dan mendakwanya atas tuduhan cuai hingga menyebabkan kematian.

“Kami menyiasat siapa yang menganjurkan latihan itu dan menahan seorang jurulatih,” kata jurucakap polis Coimbatore.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan yang sering menganjurkan latihan menyelamat di seluruh India memberitahu, pihaknya tidak terbabit dalam latihan di kolej berkenaan.

“Jurulatih itu tidak diiktiraf oleh kami untuk mengadakan latihan menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan di Twitter.

Media India melaporkan, suspek tidak mempunyai sebarang tauliah atau sijil untuk menganjurkan latihan seperti itu dan pihak kolej juga tidak mendapatkan kebenaran pihak berkuasa untuk mengadakan aktiviti berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here