Treler bawa minuman berkarbonat terbalik turun bukit

0
74



Maran: Ribuan botol minuman berkarbonat bertaburan di atas jalan selepas treler yang membawa muatan itu hilang kawalan lalu terbalik sehingga merintangi jalan di Kilometer 58, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, pemandu treler, Mohd Ridzuan Shafee, 38, patah tangan dan luka di badan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Mazlan Hasaan berkata, treler milik sebuah syarikat pengangkutan itu dipercayai dalam perjalanan menghala ke Kuantan dari Kuala Lumpur.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan berat dipandunya ketika melalui laluan berselekoh dan menuruni bukit sebelum terbalik merintangi jalan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Maran yang bergegas ke tempat kejadian mengambil masa tidak sampai setengah jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

Menurutnya, kemalangan itu turut mengakibatkan lalu lintas dari kedua-dua arah sesak dan polis mengambil masa untuk mengutip botol minuman yang bertaburan di atas jalan sambil dibantu orang awam selain mengalihkan kenderaan berat terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here