Trio compound idam podium Sukan Asia

0
236
Advertisement



TRIO compound negara menetapkan sasaran untuk menaiki podium Sukan Asia di Indonesia bulan depan walaupun tidak banyak menyertai kejohanan di pentas antarabangsa sebagai persiapan.

Jelas pemanah utama negara, Juwaidi Mazuki sejak awal tahun ini, mereka hanya menyertai siri Piala Asia di Bangkok (Mac) dan siri Piala Dunia di Shanghai (April) sebagai persiapan menghadapi temasya sukan terbesar Asia itu.

“Namun ia bukan alasan kerana kami mahu mendapatkan sesuatu apabila tampil pada temasya besar seperti ini. Malah kami sudah lama bersama sebagai satu pasukan, sesuatu yang diharapkan mampu memberikan kelebihan berbanding lawan lain.

“Pada saingan di Jakarta nanti, kami mahu sekurang-kurangnya mampu menaiki podium namun tetap mengambil sikap berwaspada dengan lawan yang turut melakukan persiapan rapi,” tegasnya.

Juwaidi dijangka menggalas cabaran negara bersama gandingannya Zulfadli Ruslan dan Lee Kin Lip yang sudah meraih pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa termasuk perak pada Piala Asia di Bangkok, tewas kepada Russia.

Compound pada awalnya tidak dipertandingkan di Sukan Asia sebelum penganjur membuat kejutan kembali menyenaraikannya namun tiada acara individu dengan hanya berpasukan lelaki, berpasukan wanita dan campuran dipertandingkan.

“Selain Korea Selatan, ada beberapa negara yang kuat di Asia seperti India, Taiwan dan Iran. Kami akan memberikan persembahan sebaik mungkin,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here