Trump mahu Penjara Teluk Guantanamo terus dibuka

0
30
Advertisement

WASHINGTON DC: Presiden Donald Trump mengarahkan pihak tentera Amerika Syarikat (AS) untuk terus mengekalkan operasi penjara Teluk Guantanamo di Cuba.

Pengumuman berkenaan dibuat presiden penuh kontroversi itu semasa menyampaikan ucaptama di ‘State of the Union’.

“Saya baru sahaja menandatangani arahan berkenaan bagi membolehkan Setiausaha Pertahanan Jim Mattis menyemak semula dasar tahanan tentera dan supaya pusat tahanan di Teluk Guantanamo terus dibuka,” jelas Trump.

Arahan ini merupakan tindakan yang bertentangan dengan arahan yang dikeluarkan Presiden Barack Obama yang meminta agar pusat tahanan itu ditutup.

Arahan Trump juga memberikan Mattis tempoh tiga bulan untuk mengusulkan dasar mengenai penahanan individu yang ditahan semasa konflik bersenjata, termasuk dasar untuk memindahkan tahanan ke Teluk Guantanamo.

“Pengganas melakukan tindakan seperti meletupkan bom di hospital dan ini adalah sesuatu yang jahat. Kita tiada pilihan selain daripada memusnahkan mereka. Jika perlu, kita perlu menahan dan menyoal siasat mereka.

“Kita perlu jelas, pengganas bukan sahaja penjenayah tetapi mereka adalah pejuang musuh,” jelas Trump.

Pihak yang menyokong penjara tentera mempertahankan bahawa semua tahanan yang ditahan di Teluk Guantanamo adalah terlalu bahaya untuk dipindahkan ke AS atau negara lain.

Mereka juga mempertahankan bahawa pusat tahanan itu juga menjadi ‘alat’ terbaik untuk mendapat maklumat mengenai pengganas.

Tetapi kritik berpendapat penjara itu terlalu mahal, tidak perlu dan sering digunakan kumpulan pengganas untuk mencari rekrut baru.

Ia juga menjadi tamparan kepada legasi pentadbiran Obama yang benar-benar mahu pusat tahanan itu ditutup.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here