TRW mampu 'benam' skuad elit

0
66
Advertisement



SELEPAS berjaya layak ke saingan Piala Malaysia, Kelantan tekad untuk meneruskan rentak walaupun bakal berdepan ujian getir bertemu pasukan pilihan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah dalam kumpulan C.

Presiden KAFA Bibi Ramjani Ilias Khan berkata walaupun diletakkan dalam Kumpulan C bersama Juara Liga Super JDT, Kedah dan MIFA, namun barisan pemain muda Kelantan di bawah kendalian pemangku jurulatih, Yusri Che Lah bersedia menggalas cabaran berdepan pasukan berstatus elit.

“Kelantan perlu mengekalkan momentum dengan mencuri sekurang-kurangnya satu mata di tempat lawan dan mengambil kesempatan mengumpul tiga mata di laman sendiri.

“Pemain muda Kelantan membuktikan mereka mampu mengejutkan pasukan berstatus elit selepas berjaya menewaskan Pahang 2-1 dalam aksi terakhir saingan Liga Super, Ahad lalu.

“Namun kami tidak akan meletakkan sasaran tinggi kerana sedar ia sebagai pendedahan pertama pemain muda dalam perebutan piala berprestij itu, tambahan pula cabaran yang bakal dihadapi bukan mudah, malah jauh lebih sengit berbanding Liga Super,” katanya di sini, hari ini.

Kelantan akan menghadapi tentangan Kedah pada Ahad ini di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Mengulas mengenai calon jurulatih yang bakal menggantikan Fajer Ebrahim, beliau mengakui sedang berbincang dengan beberapa calon jurulatih namun bersetuju mengekalkan Yusri Che Lah memangku jawatan sehingga mengumumkan calon sesuai kelak.

Menurutnya, walaupun menggunakan hampir keseluruhan khidmat pemain muda tetapi pemain berjaya menunjukkan persembahan yang membanggakan sehingga mencapai beberapa keputusan di luar jangkaan dalam saingan Liga Super.

“Selaku presiden KAFA, keputusan positif yang dicapai  dalam saingan Piala Malaysia diharap mampu memulihkan kembali pencapaian bola sepak negeri ini yang agak suram akhir-akhir ini,” katanya. 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here