'Tuah undian ke-3'

0
16
Advertisement



 

SKUAD Bawah 23 Tahun negara (B-23) akhirnya boleh kembali ‘bernafas’ selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) diundi keluar daripada Kumpulan E Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Selepas diuji dengan undian kali kedua sebelum ini yang menyebabkan Kumpulan E dibarisi lima pasukan sekali gus menyajikan laluan lebih sukar buat skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee, mereka mungkin sedikit lega apabila melihat keputusan undian kali ketiga di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hari ini.

Keputusan undian kali ketiga itu menyaksikan UAE diundi bagi menggantikan Iraq dalam Kumpulan C yang sebelum ini membuat keputusan menarik diri.

Kemasukan UAE membolehkan kumpulan terbabit kembali lengkap dengan empat pasukan termasuk China, Timor Leste dan juga Syria.

Sebelum ini, undian kali kedua diadakan selepas Palestin dan UAE tercicir pada undian 5 Julai lalu walaupun sudah mengesahkan penyertaan sebelum tarikh tutup.

Undian terbabit menyaksikan Palestin diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, Indonesia; Hong Kong, Laos dan Chinese Taipei sementara UAE menyertai Kumpulan E bersama juara bertahan, Korea Selatan; Kyrgyzstan, Malaysia dan juga Bahrain.

Bagaimanapun, keputusan Iraq untuk menarik diri, Rabu lalu menyebabkan timbulnya masalah memandangkan saingan akan berlaku lebih kurang dua minggu lagi.

Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Olimpik Iraq dan menyaksikan berlakunya ketidakseimbangan dalam jumlah pasukan yang akan bertanding pada temasya di Indonesia itu.

Ia menyebabkan Kumpulan C hanya membabitkan tiga pasukan selepas keluarnya Iraq dan memaksa undian sekali lagi dijalankan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here