Tugas berat June Wei

0
103
Advertisement



JUARA Terbuka Belanda dan pemenang pingat emas Sukan Remaja Olimpik Nanjing 2014, Cheam June Wei akan menggalas tugas berat menggantikan Datuk Lee Chong Wei ke Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan depan, selepas jaguh perseorangan lelaki negara iu menarik diri kerana masalah kesihatan.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria berkata, keputusan itu dibuat selepas hasil perbincangan dengan ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek semalam.

“Saya ada bercakap dengan Misbun semalam dan membincangkan mengenai pemain yang menggantikan Chong Wei bagi acara berpasukan dan perseorangan lelaki. Seperti sedia maklum beberapa nama sudah dikemukakan sebelum ini berdasarkan senarai panjang dan mereka membabitkan Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lim Chi Wing serta June Wei,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ujarnya, selepas mendapat pengesahan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), mereka melakukan proses penukaran nama kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Kami mungkin menyenaraikan June Wei sebagai ganti (tempat Chong Wei). Dalam masa sama sasaran pingat juga berubah. Sebelum ini kami menetapkan sasaran tiga pingat tidak kira sebarang warna namun disebabkan perkara ini ia dikurangkan kepada dua.

“Seperti kenyataan akhbar baru-baru ini, kami beri peluang dan ruang kepada Chong Wei menjalani proses pemulihan dalam masa sebulan. Kami harap dia kembali cergas,” kata Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Sementara itu, Pengerusi C&T, Datuk Ng Chin Chai berkata, Misbun sendiri membuat saranan untuk memberi ruang kepada naib juara Terbuka Finland dan Austria itu.

Sebagai rekod, Chong Wei memenangi gangsa acara perseorangan lelaki selain membantu pasukan negara menduduki tempat ketiga di Sukan Asia Incheon, empat tahun lalu.

Perseorangan lelaki yang tersenarai kali ini membabitkan Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Soong Joo Ven manakala beregu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta Chan Peng Soon-Goh Soon Huat.

Chong Wei bukan saja menarik diri daripada Sukan Asia, malah terpaksa melupakan Kejohanan Dunia di Nanjing minggu depan selepas mengalami masalah pernafasan yang menyaksikan dia terpaksa berehat sebulan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here