Tun Abdul Rahman angkat sumpah YDP Pulau Pinang bagi penggal ketujuh

0
74



GEORGE TOWN: Tun Dr Abdul Rahman Abbas hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang untuk penggal ketujuh di Dewan Seri Mutiara di sini.

Upacara angkat sumpah itu disaksikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Abdul Rahman, Toh Puan Majimor Shariff, Ketua Menteri Lim Guan Eng dan isterinya Betty Chew Gek Cheng serta barisan kepimpinan ahli mesyuarat kerajaan negeri.

Abdul Rahman, 79, menerima Surat Cara Pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri bagi tempoh empat tahun daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam istiadat di Istana Negara, semalam.

Dilahirkan pada 15 April 1938 di Kampung Permatang Rambai, Kepala Batas, Pulau Pinang, Abdul Rahman mula dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada 2001 dan dilantik semula ke jawatan sama pada 2005, 2009, 2011, 2013 dan 2015.

Abdul Rahman mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Permatang Sintok, Kepala Batas pada 1946 hingga 1953 sebelum memasuki Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim pada 1955 hingga 1958.

Beliau yang berkelulusan ijazah kepujian dalam bidang Kesusasteraan daripada Universiti Malaya memulakan kerjaya sebagai pendidik pada 1958 hingga 1977 dan memegang jawatan terakhir sebagai Penolong Kanan Sekolah Menengah Seri Muda Penaga sebelum melibatkan diri dalam bidang politik.

Kerjaya politiknya bermula pada 16 Jun 1977 apabila dipilih sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam dan berjaya mempertahankan kerusi itu untuk tiga penggal pilihan raya umum iaitu pada 1982, 1986 dan 1990.

Semasa menjadi ahli mesyuarat kerajaan negeri, Abdul Rahman pernah memangku jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang sebanyak tiga kali mulai 10 Sept 1982 hingga 31 Okt 1982, 24 Okt 1983 hingga 12 Nov 1983 dan pada 29 Sept 1984 hingga 18 Okt 1984.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here