Tunggu dulu: Rosman

0
13
Advertisement



JURULATIH beregu wanita negara, Rosman Razak hanya akan memutuskan nasib gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei selepas Sukan Asia Indonesia, Ogos ini.

Vivian yang membentuk gandingan baharu bersama Chow Mei Kuan mara ke pusingan kedua Terbuka Amerika Syarikat di Fullerton, California, semalam.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel itu mudah menewaskan pasangan tempatan, Emily Kan-Isabel Zhong 21-9, 21-12 pada aksi pusingan pertama.

Beregu yang turut beraksi pada Piala Uber di Bangkok itu akan beraksi menentang pilihan ketiga dari Perancis, Emilie Lefel-Anne Tran, malam ini untuk mengintai tiket ke suku akhir.

Namun, gandingan baharu itu menimbulkan persoalan sama ada Vivian akan kembali digandingkan dengan Khe Wei.

Vivian-Khe Wei akan kembali beraksi bersama pada Terbuka Russia bulan depan dan Kejohanan Dunia di Nanjing, China.

Tiada juga bayangan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sama ada mahu mengekalkan gandingan itu selepas ini.

Rosman ketika dihubungi berkata, masih terlalu awal untuk membuat keputusan.

“Kejohanan Dunia semakin hampir dan untuk Sukan Asia, kami hanya menghantar satu pasangan (Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean). Apa saja keputusan akan dibuat selepas dua kejohanan ini.”

Bagaimanapun, Rosman tidak berselindung apabila beberapa pemain akan digugurkan menjelang Ogos ini sejajar dengan haluan baharu BAM untuk fokus kepada pemain muda dan juga pemain elit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here