'Tunggu laporan AFF pula…'

0
26
Advertisement



SETIAUSAHA Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul John menegaskan bahawa Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) dan tuan rumah Indonesia perlu bertanggungjawab atas tindakan melampau penyokong tempatan yang didakwa menghina Malaysia pada Kejuaraan Bawah 16 (B-16) AFF 2018.

Beliau berkata, pihaknya sudah menerima surat bantahan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung insiden itu namun mereka memerlukan laporan penuh untuk mengambil sebarang tindakan.

“Sehingga kini kami hanya menerima surat bantahan daripada FAM tapi belum menerima laporan penuh insiden itu jadi AFC tidak boleh apa-apa tindakan. Butiran surat yang FAM serahkan itu sama seperti yang kami tahu menerusi laporan berhubung insiden berkenaan.

“Laporan penuh itu hanya AFF yang ada jadi kami akan mendapatkan laporan itu terlebih dahulu. AFF juga boleh mengambil tindakan terhadap insiden ini bersama pihak tuan rumah Indonesia. Kita berharap perkara ini dapat diatasi segera dan tidak berulang lagi,” kata Windsor kepada Sukan NSTP, hari ini.

Insiden panas itu berlaku ketika skuad B-16 negara turun beraksi menentang Thailand dalam aksi pertama Kumpulan B di Stadium Joko Samudro, Surabaya, malam tadi apabila penyokong Indonesia melaungkan kata-kata kesat ‘Malaysia itu anjing’ dan juga ‘Amirul itu anjing’ sepanjang perlawanan.

Tindakan penyokong tuan rumah itu tercetus susulan pemain muda negara, Amirul Ashrafiq Hanifah yang dituduh menghina bendera Indonesia apabila meletakkan bendera terbalik dalam Instagram Story miliknya ketika membuat ucapan ringkas sebelum berlepas ke Surabaya.

Namun, Amirul sudah menyatakan permohonan maaf secara terbuka dan menjelaskan ia bukan provokasi sebaliknya hanya kesilapan meletakkan bendera Poland.

Pada aksi itu, anak buah Raja Azlan Shah Raja So’ib membuka kempen mereka dengan langkah kiri apabila tumbang 1-2 di tangan juara tiga kali, Thailand.

Provokasi terbaharu itu sudah pasti mengundang hukuman terhadap Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) memandangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pernah didenda atas kesalahan sama sebelum ini.

FAM didenda AS$30,000 (RM121,000) oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) apabila penyokong Malaysia melaungkan sorakan ‘anjing’ kepada penyokong Brunei dan Singapura pada Sukan SEA 2017.

Penyokong Malaysia melaungkan sorakan ‘Brunei anjing dibunuh saja’ pada aksi bertemu Brunei, 4 Ogos 2017 dan sorakan berbentuk sama ketika bertemu Singapura dua hari kemudian sekali gus menyaksikan AFC mengenakan denda sebanyak AS$15,000 (RM61,000) bagi setiap kesalahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here