'Tunggu… perang dadah akan kembali' – Ketua Polis Filipina

0
100
Advertisement

MANILA: Di sebalik kecaman antarabangsa, polis anti narkotik Filipina bersedia melancarkan kembali operasi perang dadah secara besar-besaran di negara itu.

Ketua Polis Filipina Ronald Dela Rosa dalam pengesahannya memaklumkan operasi yang dikenali sebagai Oplan Tokhang ini akan bermula dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Menurut Dela Rosa, pihaknya seboleh mungkin mahu mengelak pertumpahan darah, namun jika berdepan tentangan atau provokasi tindakan sewajarnya perlu diambil demi mempertahankan diri.

Tokhang sepatutnya tidak melibatkan petumpahan darah kerana semangat Tokhang itu sendiri jika dilaksanakan dengan betul adalah ‘ketuk dan mengaku’,” jelas Dela Rosa pada sidang medianya di Manila pada Jumaat.

Dela Rosa bagaimanapun tidak menjelaskan sebab mengapa operasi berkenaan disambung kembali.

Kempen yang diilhamkan sendiri Presiden Filipina Rodrigo Duterte beberapa bulan selepas mengambil alih kuasa itu bertujuan untuk membebaskan negaa itu dari belenggu dadah.

Bagaimanapun momentumnya hilang selepas Duterte sendiri mengarahkan pihak polis menggantung seketika kempen itu pada 11 Oktober tahun lalu selepas menerima tekanan dari dalam dan luar negara.

Bermula tarikh sama peranan menangani kes dadah diserahkan kepada Agensi Peguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) sementara pihak polis hanya berperanan sebagai unit bantuan.

Sepanjang operasi yang bermula sejak Jun 2016, hampir 4,000 orang maut di tangan pihak berkuasa.

Ia lantas mendapat kritikan aktivis kumpulan hak asasi manusia yang mendakwa polis melakukan pembunuhan di luar batas undang-undang.

Aktivis pada masa sama mendakwa dalam kebanyakan kes, suspek tidak diberi peluang untuk menyerah diri sebaliknya terus ditembak mati

Dela Rosa lantang menafikan dakwaan berkenaan sebaliknya menegaskan suspek ditembak kerana mereka bertindak ganas ketika cuba ditahan.

Bagi menyokong hujahya Dela Rosa merujuk kepada lebih 117,000 lagi suspek yang ditahan pihak berkuasa sepanjang operasi berkenaan yang berada dalam keadaan selamat.

“Satu jawatan kuasa pemerhati akan dibentuk, dan jika ada peruntukan setiap anggota polis yang terlibat dalam serbuan akan dilengkapkan dengan kamera badan.

“Bagi operasi kali ini kami akan pastikan ia dijalankan dengan sewajarnya dan sesiapa yang cuba melawan akan menerima padah,” tambahnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here