Tunjuk bukti jika rugi batal HSR – Tun Mahathir

0
66
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta pihak yang mendakwa kerajaan akan mengalami kerugian jika membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, supaya mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan mereka.

Beliau berkata tindakan mengeluarkan kenyataan dan dakwaan tanpa bukti tidak membawa apa-apa makna.

“Bolehlah dia tunjuk bukti (tentang HSR)…bila kita kata kerajaan hilang RM1 trilion (jumlah hutang negara), kita ada bukti dan dokumen yang menunjukkan kita hilang (jumlah itu).

“Tapi dia cakap mulut sahaja…suruh dia tunjuk bukti, di mana dan bagaimana,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Iftar Bersama Warga PDRM di Masjid Bukit Aman di sini, malam tadi.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan semalam yang mendakwa negara akan kehilangan pendapatan sebanyak RM209 bilion dalam Pendapatan Negara Kasar (GNI) selain 70,000 peluang pekerjaan jika projek HSR dibatalkan.

Pada Isnin, Dr Mahathir berkata kerajaan membuat keputusan muktamad untuk membatalkan projek HSR dan berkemungkinan perlu membayar pampasan sebanyak RM500 juta kepada Singapura.

Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat kerana projek itu dilihat tidak memberi manfaat kepada Malaysia berikutan membabitkan kos yang amat besar selain kerajaan tidak meraih keuntungan daripadanya disebabkan landasan yang pendek.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai penarikan pegawai keselamatan, polis pengiring serta pegawai bantuan yang ditugaskan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Dr Mahathir berkata bekas Perdana Menteri itu sedang disiasat berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dr Mahathir berkata selepas siasatan selesai dan didapati tidak bersalah, Najib akan mendapat semula faedah yang dinikmati sebagai bekas perdana menteri.

Turut hadir pada majlis iftar itu ialah isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here