Tunku Hanis dedah rahsia kecantikan

0
46


Pelakon, Tunku Norhanis Tunku Salma atau dikenali Tunku Hanis. – Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Mungkin ada yang tidak percaya, namun pelakon Tunku Hanis tidak pernah menggunakan pencuci muka sejak remaja, sebaliknya lebih menggemari produk mandian.

Bintang drama Sedetik Cinta berusia 27 tahun itu mendakwa hanya menggunakan sabun mandian dan syampu untuk mencuci muka dan menanggalkan solekan.

“Kalau ada sabun, itulah yang saya gunakan untuk badan dan muka. Saya memang tak pernah menggunakan produk pencuci muka sebab malas selain mungkin disebabkan saya tiada masalah kulit.

“Malah, disebabkan malas, saya pernah pulang daripada penggambaran dan terus tidur dengan solekan. Orang lain mungkin agak teliti dan mempunyai banyak produk penjagaan wajah, tetapi saya tidak begitu,” katanya kepada BH Online.

Membuka rahsia, Hanis rupa-rupanya mengamalkan petua kecantikan menggunakan air basuhan beras untuk mencuci muka.

“Sejak dulu lagi saya gunakan air basuhan beras. Ia mungkin menjadi antara sebab kulit wajah saya tidak bermasalah,” katanya yang sibuk dengan penggambaran drama 40 episod, Vila Ghazara di Kajang.

Hanis lebih cenderung memilih produk mengurangkan berat badan daripada penjagaan wajah seperti kebanyakan artis.

“Saya pernah bercuti dengan Fathia Latiff. Dia tak percaya saya tak bawa produk penjagaan wajah sehingga periksa bagasi saya dan hanya menemui sebatang berus gigi,” katanya.

Merancang memasarkan produk melangsingkan badan tidak lama lagi, Hanis berhasrat menghasilkan produk kosmetik.

“Mungkin sebab saya agak kasar, jadi saya tak kisah sangat soal penjagaan diri. Sebaliknya, saya lebih fokus kepada produk pelangsing kerana pernah gemuk,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here