Umie, Erra jual baju kurung

0
29


KUALA LUMPUR: Ramai peminat tahu betapa akrabnya hubungan dua aktres jelita, Umie Aida dan Erra Fazira.

Terbaru, dua sahabat baik itu bekerjasama menghasilkan koleksi baju kurung jenama, Max Chic.

Umie memberitahu, idea menjual baju kurung sempena Aidilfitri timbul ketika minum petang bersama Erra, Januari lalu.

“Semuanya bermula secara suka-suka dan spontan ketika kami menikmati minum petang. Kami terfikir, kenapa tidak kami bekerjasama, tambah pula nak tiba hari raya,” katanya kepada BH Online.

Mengenai jenama Max Chic, Umie mengaku ada cerita di sebalik nama itu.

“Nama Max Chic ini simbolik. Kalau disebut, ia kedengaran seperti ‘makcik’.

“Sebenarnya, kami memang sama-sama membahasakan diri ‘makcik’ setiap kali berhubung. Jadi kami ‘naik taraf’ sikitlah dengan gelaran Max Chic ini,” katanya.

Sebagai permulaan, 13 rekaan kurang moden dengan harga berpatutan boleh dilihat melalui akaun Instagram @max_chic.

Umie berkata, pereka fesyen, Ashraf Zainal banyak memberi input dan bantuan dalam merealisasikan perniagaan baju kurung itu.

“Alhamdulillah, sambutan pembelian dalam talian sangat menggalakkan,” katanya.

Ditanya apakah mereka akan terus menjual baju kurung selepas Aidilfitri, Umie berkata:

“Soal apakah perniagaan ini diteruskan secara konsisten, kita tunggu saja kerana Erra sibuk dengan komitmen seni,” katanya.

Sementara itu, Umie berkata, dia menolak terbabit dengan komitmen seni sepanjang Ramadan.

“Saban tahun memang saya mengelak terikat dengan kerja seni di bulan puasa.

“Cuma untuk dua hari mulai Ahad ini, saya terpaksa menjalani penggambaran bagi slot program Aidilfitri di TV3,” kata pelakon Mak Cun yang terkenal dengan watak Zeenat Manisah itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here