Ummi Nazeera nikah 3 Ogos

0
14


KUALA LUMPUR: Pelakon, Ummi Nazeera, memilih tarikh 3 Ogos depan untuk diijabkabulkan dengan jejaka pilihannya dikenali sebagai Mr I di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.

Menurut pelakon filem Penanggal terbabit, majlis pernikahannya itu bagaimanapun akan diadakan secara tertutup.

“Sebanyak empat majlis dirancang sempena perkahwinan kami nanti, dalam bulan yang sama. Malam berinai berkonsepkan Bollywood akan diadakan pada 2 Ogos, iaitu sehari sebelum majlis pernikahan.

“Ia diikuti dua majlis resepsi, masing-masing pada 5 dan 12 Ogos. Majlis di sebelah keluarga bakal suami pula akan diadakan pada 19 Ogos,” katanya.

Ketika ini, menurut Ummi, kad undangan perkahwinan sudah mula diedarkan untuk golongan kenamaan.

“Cuma ketika ini, kad undangan untuk tetamu lain belum disiapkan lagi. Insya-Allah tidak lama lagi ia bolehlah diedarkan,” katanya.

Menjelang hari bahagiannya, gadis berusia 26 tahun ini mengakui sedikit tertekan kerana mahu menyediakan sesuatu yang terbaik pada hari perkahwinannya.

“Ia termasuklah mencari cenderahati untuk dibawa pulang tetamu yang diraikan. Tambahan pula, empat majlis akan diadakan di pihak saya.

“Lebih daripada itu, saya juga harus ke lokasi penggambaran drama Chor & Chah musim kedua terbitan Suhan Movies, bermula 15 Julai ini. Saya akan melunaskan penggambaran drama berkenaan dalam tempoh dua minggu dan pihak produksi akan melepaskan saya pada 29 Julai.

“Jadi, saya ada beberapa hari saja untuk berehat sebelum kembali memberikan tumpuan kepada hal perkahwinan,” katanya.

Ummi memberitahu, pada hari bahagianya nanti beliau akan menggayakan baju nikah rekaan Innai Red, selain persalinan Bollywood yang diterbangkan khas dari Delhi, India, untuk malam berinai. Saat ini, Ummi masih merahsiakan busana yang akan akan digayakan pada dua majlis resepsinya.

Ummi dan pasangannya ditunangkan dalam sebuah majlis tertutup pada 11 Disember tahun lalu. Kedua-duanya berkenalan menerusi ibu pemuda terbabit pada sebuah majlis, 29 Januari tahun lalu.

Sementara itu, filem terbaru lakonan Ummi berjudul Bisik Pada Langit dijangka diputarkan di pawagam mulai 21 September depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here