UMNO Kelantan tidak perlu selesa – Annuar

0
67



KOTA BHARU: UMNO Kelantan tidak perlu berada dalam kedudukan selesa walaupun terdapat pihak membayangkan Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk kembali mentadbir negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata UMNO Kelantan sepatutnya perlu membuat persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya tersebut.

“Kita jangan terlalu awal membuat bayangan mahu memerintah Kelantan dengan mudah kerana tidak semua perkara yang dilihat itu mudah dicapai, sebaliknya kita perlu fokus dengan kerja-kerja kita kepada rakyat negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Annuar, yang juga Anggota Parlimen Ketereh, berkata perkara penting adalah meningkatkan prestasi dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat bagi membolehkan mereka memberikan mandat kepada BN untuk mengambil alih pentadbiran negeri ini daripada PAS.

“Saya fikir apabila kita terus melaksanakan kerja-kerja baik dan kita terus menunjukkan integriti tinggi dan terus beristiqamah dengan apa yang kita lakukan kepada rakyat, mereka akan memberikan kepercayaan kepada kita untuk memerintah.

“Apabila rakyat memberikan kepercayaan maka apa yang kita mahu, kita akan berjaya, namun kita juga perlu ingat semua parti politik mahu kuasa dan mandat rakyat oleh itu kita tidak boleh berasa selesa kerana politik tidak bersendirian,” katanya.

Annuar percaya PRU14 tidak akan diadakan secara tergesa-gesa oleh kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ada orang kata jika tarikh PRU terlalu lama akan memberikan peluang kepada pembangkang menjadi kuat, itu tidak semestinya, ada juga pembangkang sudah wujud lama namun hancur juga.

“Saya percaya perdana menteri tidak berada dalam kedudukan tertekan, terburu-buru, saya nampak beliau sangat memberikan tumpuan kepada agenda nasional demi kepentingan rakyat,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here