Umno paling sayang orang Cina

0
60



Tan Sri Annuar Musa berkata, Melayu yang paling sayang kepada Cina adalah anggota Umno dan Malaysia menjadi buktinya.

Kata ketua penerangan Umno itu, selepas dikafirkan oleh PAS kerana bersekutu dengan kaum Cina, Umno kekal dengan dasar itu dan tidak mengetepikan mereka.

“Kita tak pernah tinggalkan saudara-mara kita orang Cina. Kita berikan perlindungan, politik dan ekonomi kepada orang Cina, akhirnya orang Cina (lebih) kaya berbanding (kaum) lain,” katanya kepada media di Shah Alam hari ini.

Annuar ditemui pada majlis pengumuman pemenang pertandingan menulis artikel dan video mengenai sikap pemimpin DAP, Lim Kit Siang, yang didakwa Umno rasis.

Turut hadir, Ketua Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dan ketua penerangannya, Datuk Zein Isma Ismail.

Annuar berkata orang Cina di negara ini juga tidak perlu bimbang kerana Umno akan melindungi mereka daripada diperintah mana-mana parti selain BN.

Katanya, sikap Umno bermusuh dengan DAP dan Lim bukan kerana mereka adalah Cina atau mendapat sokongan masyarakat itu.

Sebaliknya Annuar menjelaskan sikap penentangan itu disebabkan dasar serta politik parti terbabit.

Malah kata anggota parlimen Ketereh itu, pendirian berkenaan adalah selaras dengan kehendak Islam.

“Kita mesti buat penegasan, parti pertama yang menerima orang Cina dan India sebagai saudara ialah Umno, bukannya parti lain.

“Kenapa Umno menerima orang Cina? Sebab islam mengajar kita begitu.

“Tak ada dalam Islam suruh kita tanam kebencian sesiapa atas sebab kaumnya, Malah kita mesti menghormati walaupun kaum itu tidak beragama Islam,” katanya.

Annuar juga menegaskan Umno mesti menafikan bahawa mereka parti perkauman.

“Kalau Umno rasis, Malaysia tak wujud macam hari ini,” katanya.

Pada masa sama, kata Annuar, orang Cina di negara ini tetap akan selamat dan aman selagi ada Umno.

Namun katanya DAP menakut-nakutkan orang Cina kepada Umno.

“Letih kita masuk bandar sebab orang Cina ditakut-takutkan oleh DAP, cipta kebimbangan seolah-olah Umno itu jahat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here