UMW tawar RM918.5 juta bagi tingkatkan kepentingan dalam Perodua

0
233
Advertisement

KUALA LUMPUR: UMW Holdings Bhd merancang untuk meningkatkan kepentingan strategiknya dalam Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) daripada 38 peratus kepada 70.6 peratus.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, UMW berkata ia telah membuat tawaran bersyarat untuk membeli 50.07 peratus kepentingan dalam MBM Resources Bhd (MBMR) daripada Med-Bumikar Mara Sdn Bhd dan unitnya Central Shore Sdn Bhd dengan nilai RM501.0 juta.

MBMR, ketika ini memegang 22.58 peratus kepentingan ekuiti dalam Perodua.

UMW berkata ia turut membuat tawaran bersyarat kepada PNB Equity Resource Corporation Sdn Bhd (PERC) bagi 10 peratus kepentingan ekuiti dalam Perodua dengan nilai RM417.5 juta.

Dengan kepentingan sebanyak 38 peratus pada masa ini, UMW telah menjadi pemegang saham terbesar dalam Perodua.

Jika MBMR menerima tawarannya, yang dibuka sehingga 28 Mac 28, dan tertakluk kepada selesainya cadangan pengambilalihan MBMR, pegangan saham UMW dalam MBMR akan meningkat daripada sifar kepada 50.07 peratus dan ia kemudian diwajibkan untuk melanjutkan tawaran pengambilalihan mandatori (MO).

UMW berkata ia tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian MBMR di Pasaran Utama Bursa Malaysia selepas MO yang dicadangkan itu.

Mengenai rasionalnya, ia berkata cadangan tersebut akan membolehkannya meningkatkan kepentingan strategiknya dalam Perodua.

Selain mengukuhkan pendedahannya dalam Perodua, UMW berkata, ia merancang untuk meningkatkan pendedahannya dalam segmen kenderaan komersial melalui pengedar pelbagai jenama MBMR seperti kenderaan Daihatsu dan Hino.

Perniagaan pembuatan komponen kenderaan MBMR akan turut memperluaskan penawaran UMW dalam segmen pembuatan, katanya. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here