Undang-undang tentera di Mindanao

0
48



Pantar: Ribuan orang awam di selatan Filipina semalam melarikan diri apabila tentera melancarkan operasi mengekang kumpulan militan yang ada hubungan dengan Daish dan menguasai sebahagian besar sebuah bandar, membakar gereja dan menahan seorang paderi serta beberapa penduduk lain.

Presiden Rodrigo Duterte kelmarin mengisytiharkan undang-undang tentera di Pulau Mindanao selepas serbuan oleh tentera terhadap tempat persembunyian kumpulan Maute gagal dan mencetuskan pertempuran serta huru-hara di bandar Marawi.

Duterte sejak dulu lagi mengancam menguatkuasakan undang-undang tentera bagi memusnahkan kumpulan berkenaan yang juga bersekutu dengan Abu Sayyaf.

Dia sebelum ini memberi amaran kumpulan berkenaan cuba mewujudkan kehadiran Daish di Filipina dan perlu ditumpaskan sebelum terlambat.

Presiden Filipina itu memendekkan lawatannya ke Russia selepas pertempuran meletus di bandar berkenaan kelmarin serta memberi amaran akan mengambil tindakan tegas seperti yang dilakukan Presiden Marcos pada 1970-an.

“Ketika ditanya apa tindak balas saya terhadap keganasan, saya berkata, saya akan bertindak ‘kasar.’ Saya sudah kata jangan paksa saya campur tangan kerana apabila saya mula mengisytiharkan undang-undang tentera, saya akan menyelesaikan semua masalah yang ada kaitan dengan undang-undang di Mindanao,” katanya sejurus tiba di Manila.

Dia juga mengumumkan rancangannya untuk menguatkuasakan undang-undang tentera di beberapa kawasan lain di negara itu, khususnya yang hampir dengan Mindanao.

Tentera dan kumpulan militan semalam mendirikan sekatan jalan raya masing-masing di sekitar Marawi ketika penduduk, termasuk kanak-kanak melarikan diri dengan bersesak-sesak dalam kenderaan bersama barangan masing-masing.

Tentera tidak memberi butir terperinci mengenai pertempuran kelmarin atau jumlah militan yang terbunuh.

Ia tidak menjelaskan bagaimana serbuan terhadap sebuah apartmen yang menjadi tempat persembunyian militan itu gagal hingga menyebabkan kumpulan militan itu mengganas dan menguasai jalan raya, jambatan dan bangunan.

Setakat ini, tiga askar disahkan mati dan 12 orang cedera berikutan pertempuran yang meletus.

Menurut tentera, keadaan kini terkawal tetapi penduduk yang melarikan diri berkata, Marawi masih dikuasai kumpulan militan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here