Undang-undang tentera mungkin dilanjutkan

0
30



Davao: Presiden Rodrigo Duterte dijangka melanjutkan undang-undang tentera di Mindanao.

Jumaat lalu, Duterte berkata, dia hanya akan menarik balik undang-undang itu yang akan berakhir 22 Julai sekiranya tentera dan polis memberitahunya ancaman militan Maute dan Abu Sayyaf di wilayah berkenaan sudah terkawal.

“Saya terpaksa bergantung kepada keputusan tentera dan polis kerana mereka yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan negara ini,” katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang diterimanya, Duterte berkata keadaan di Bandar Marawi masih kritikal walaupun serangan terhadap militan yang berkubu di situ berkurangan.

Duterte mengisytiharkan undang-undang tentera di Mindanao selepas ratusan militan menawan Bandar Marawi 23 Mei lalu.

Sehingga semalam, beberapa militan masih menahan tebusan dan meneruskan pertempuran di empat kawasan di bandar itu.

Anggota Senat mendesak Duterte memaklumkan kepada mereka secara rasmi sekiranya dia ingin meneruskan undang-undang itu sebelum dia menyampaikan ucapan kebertanggungjawaban pertamanya di Kongres pada 24 Julai depan.

Pertempuran di Marawi sehingga semalam meragut lebih 400 nyawa, termasuk 94 anggota keselamatan dan menyebabkan 200,000 meninggalkan kediaman masing-masing.

Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana berkata, kerajaan masih menilai keadaan untuk memastikan sama ada perlu untuk melanjutkan undang-undang itu.

“Kami akan mengumumkan keputusan itu beberapa hari lagi,” katanya. – Agensi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here