Unjuran positif untuk 2018 – Johari

0
281
Advertisement

KUALA LUMPUR: Unjuran bagi keseluruhan 2018 dilihat positif, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK) dijangka menyederhana pada kira-kira lima hingga 5.5 peratus berikutan pemulihan ekonomi tahun lepas, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata ekonomi Malaysia perlu kekal kondusif bagi menyokong prestasi makroekonomi yang lebih teguh walaupun terdapat defisit fiskal, yang dijangka berkurangan kepada 2.8 peratus pada 2018 daripada tiga pada 2017.

“Pertumbuhan KDNK pada 2018 akan terus didorong oleh penggunaan dan pelaburan swasta, pertumbuhan eksport dan perbelanjaan kerajaan yang lebih tinggi dalam projek infrastruktur – Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur, Kereta Api Laju, Jajaran 2 Mass Rapid Transit (MRT2) dan Jajaran 3 Light Rail Transit (LRT3),” katanya dalam ucaptama pada Hari Korporat Tahunan CIMB Group Holdings Bhd di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun unjuran menyeluruh nampak positif, Kerajaan menyedari cabaran di peringkat global.

Kelembapan dalam pertumbuhan ekonomi China seperti dijangkakan, dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di Timur Tengah, Asia Utara, di samping dasar-dasar luas Amerika Syarikat, mungkin memberi risiko ke atas ekonomi global secara keseluruhannya, yang secara langsung akan memberi kesan ke atas Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka.

Bagi memastikan ekonomi Malaysia lebih berdaya tahan dalam mendepani kemunculantrend mega, Johari berkata negara perlu serius menggunakan ekonomi digital sebagai antara tonggak teras baharudalam menyokong ekonomi yang berjaya dibangunkan selama ini.

“Ia bukan lagi rahsia bahawa Malaysia berusaha untuk menjadi penggiat terkemuka dalam ekonomi baharu ini. Kita mengambil pendirian ini bukan disebabkan negara lain beralih fokus kepada teknologi baharu dan revolusi perindustrian ke-4, bahkan sebaliknya, kita melihat merit menguasai ekonomi digital untuk memanfaatkan lagi potensi pertumbuhan negara.

“Sebagai contoh, sejak kebelakangan ini, ekonomi digital negara telah meningkat berkali ganda dengan sumbangannya kepada KDNK menghampiri sasaran 20 peratus pada 2020,” katanya.

Mengenai mata wang digital, Johari memuji langkah Bank Negara Malaysia untuk memasukkan Bursa Mata Wang Digital dalam bidang Anti Pencegahan Pengubahan Wang sebagai suatu cara untuk mengurus risiko mata wang digital, berbanding mengenakan larangan perdagangan mata wang digital itu secara menyeluruh.

“Saya mendapati langkah ini lebih sihat, yang menunjukkan keupayaan kita untuk mendapatkan kesimbangan yang betul dalam peraturan, antara menggalakkan inovasi dan mengurus risiko yang berkaitan dengan sistem kewangan negara,” katanya.

Pada sesi perbincangan bersama Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak, Johari berkata Kerajaan Barisan Nasional akan meneruskan dasar properniagaannya, untuk menyiapkan projek infrastruktur awam dan mengatasi kelemahannya, meneruskan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50), dan sebagai kerajaan yang sederhana dalam meneruskan mandat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here