Untung bersih AEON Credit naik 13.2 peratus pada tahun kewangan 2018

0
305
Advertisement

KUALA LUMPUR: AEON Credit Service (M) Bhd menyaksikan keuntungan bersihnya meningkat sebanyak 13.2 peratus kepada RM300.06 juta pada tahun kewangan berakhir 28 Feb, 2018, berbanding RM265.03 juta pada tahun lepas.

Katanya jumlah perolehan turut naik kepada RM1.24 bilion, meningkat 12.1 peratus berbanding RM1.10 bilion sebelum ini.

“Bagi suku keempat tahun kewangan 2018, perolehan meningkat kepada RM309.17 juta berbanding RM290.84 juta pada suku tahun sama pada tahun kewangan 2017.

“Keuntungan bersih naik kepada RM82.31 juta berbanding RM80.05 juta dicatatkan pada suku tahun sama sebelum ini,” menurut AEON Credit.

Penyedia kredit itu berkata pertumbuhan dalam aset dan perolehan didorong oleh prestasi yang kukuh daripada pembiayaan motosikal dan kad kredit.

“Jumlah transaksi dan pembiayaan bagi tahun kewangan 2018 sebanyak RM4.05 bilion dan pembiayaan belum terima sebanyak RM7.16 bilion, meningkat 11.1 peratus berbanding RM6.44 bilion pada tahun kewangan 2017,” katanya.

AEON Credit berkata berdasarkan kepada pelaksanaan pelan perniagaannya dan unjuran ekonomi yang menggalakkan bagi tahun ini, syarikat menjangka prestasi kewangan semasanya kekal pada tahun kewangan 2019.

Ia mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 20.00 sen sesaham bagi tahun kewangan 2018 untuk kelulusan pemegang saham, dengan pembayaran dividen sebanyak 34.0 peratus daripada keuntungan bersih tahunan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here