Untung bersih suku pertama CIMB Niaga meningkat kepada 877 bilion rupiah

0
216
Advertisement

KUALA LUMPUR: PT Bank CIMB Niaga Tbk, anak syarikat Indonesia CIMB Group Holding Bhd yang dimiliki sebanyak 92.5 peratus, mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 37 peratus tahun ke tahun kepada 877 bilion rupiah (1,000 rupiah = RM0.281) untuk suku pertama 2018 berakhir 31 Mac, 2018.

Menurut CIMB Niaga, peningkatan dalam keuntungan bersih itu disokong oleh peningkatan sebanyak 38.5 peratus pendapatan tanpa faedah kepada 992 bilion rupiah dan 21.2 peratus penurunan tahun ke tahun perbelanjaan peruntukan.

“Dengan jumlah aset sebanyak 257.7 trilion rupiah pada 31 Mac, 2018, mewakili 8.7 peratus pertumbuhan tahun ke tahun, bank berkenaan mengekalkan kedudukannya sebagai bank kebangsaan senaraian persendirian kedua terbesar Indonesia dari segi aset,” kata CIMB Niaga.

Pengarah Presiden CIMB Niaga, Tigor M Siahaan, berkata jumlah pinjaman kasar meningkat 1.8 peratus tahun ke tahun kepada 179.1 trilion rupiah pada 31 Mac, 2018.

Katanya, pinjaman pengguna adalah sebanyak 48.1 trilion rupiah dan menyumbang 27 peratus daripada jumlah pinjaman, diikuti oleh pinjaman perusahaan mikro kecil sederhana sebanyak 35.1 trilion rupiah atau 20 peratus daripada keseluruhan pinjaman.

“Perbankan borong meliputi bahagian terbesar jumlah pinjaman dengan pinjaman korporat menyumbang 36 peratus pada 65.2 trilion rupiah manakala pinjaman komersial (membentuk 17 peratus) pada 30.7 trilion rupiah,” katanya.

Tigor juga berkata, 93 peratus daripada jumlah keseluruhan urusniaga pengguna pada suku pertama dilakukan melalui saluran perbankan digital seperti CIMB Clicks, Go Mobile, Mesin Wang Automatik (ATM) dan Rekening Ponsel (dompet mudah alih)

Berhubung segmen perbankan Shariah, katanya jumlah pembiayaan unit Islam bank berkenaan meningkat 58.5 peratus tahun ke tahun kepada 17.4 trilion rupiah pada suku pertama.

“Segmen perniagaan Shariah membentuk 9.7 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman bank, meningkat daripada 6.2 peratus pada tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya.

Untuk masa hadapan, Tigor berkata, bank berkenaan akan terus memberikan fokus kepada aktiviti jualan silang bagi memacu pendapatan fi dan mengoptimumkan akaun semasa, akaun simpanan dengan pelanggannya.

Selain itu, pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana serta mengukuhkan bahagian perniagaan Shariah juga penawaran produk patuh Shariah, katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here