Untung pracukai SME Bank melonjak lebih 100 peratus

0
261
Advertisement

kUALA LUMPUR: SME Bank merekodkan lonjakan untung sebelum cukai sebanyak 104.3 peratus kepada RM114.2 juta pada tahun 2017 sekali gus menjadikan ia bank terkemuka dalam pembiayaan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) negara.

Untung bersih pula menokok 37.4 peratus kepada RM74 juta berbanding 53.9 juta tahun sebelumnya.

Prestasi itu dipacu pertumbuhan portfolio pembiayaan SME Bank yang melepasi pertumbuhan sektor perbankan pada 7.7 peratus atau RM6.5 bilion pada 2017, kata bank itu dalam satu kenyataan.

Sektor perbankan Malaysia pula hanya merekodkan pertumbuhan 6 peratus pembiayaan bagi tahun berkenaan.

“Sektor Pemborongan dan Peruncitan, Restoran & Hotel, Pembuatan, Pendidikan, Kesihatan dan lain-lain berada di posisi tiga teratas yang menerima bantuan pembiayaan dari SME Bank,” kata kenyataan itu.

Menurut firma itu pembangungan yang mampan, memberi tumpuan dalam mengukuhkan pengurusan akaun dan melaksanakan pengurusan kos yang berkesan telah menyumbang ke arah mencapai prestasi yang memberangsangkan tersebut.

“Selain itu, kedudukan pendanaan yang stabil dan kecairan SME Bank yang kukuh juga telah menyumbang kepada prestasi kewangan ini yang seterusnya membantu memastikan kemapanan kewangan Bank,” tambah kenyataan tersebut.

SME Bank turut meluluskan peruntukan RM2.2 bilion bagi membantu pembangunan usaha PKS bagi tahun ini.

“Bank turut memainkan peranan sebagai seorang rakan kongsi yang sentiasa menyokong mereka melalui pelbagai inisiatif yang disediakan seperti Program Intervensi yang menyaksikan 245 syarikat telah berjaya dinaik taraf ke peringkat yang lebih tinggi,” tambah kenyataan bank berkenaan.

Sejajar dengan objektif ini, anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) turut melengkapi peranan pembangunan yang dimainkan oleh SME Bank apabila CEDAR berjaya menjalankan 27 sesi latihan keusahawanan yang memanfaatkan seramai 785 orang peserta pada tahun 2017.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here