Untung sebelum cukai, zakat Agrobank meningkat kepada RM230.6 juta

0
119
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bank Pertanian (M) Bhd (Agrobank) mencatat keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBZT) lebih tinggi iaitu meningkat 16.7 peratus kepada RM230.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2017.

Jumlah pinjaman kumpulan itu juga berkembang 9.9 peratus kepada RM9.5 bilion.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Agrobank berkata peningkatan jumlah pembiayaan itu didorong oleh pertumbuhan dalam sektor berasaskan pertanian yang meningkat sebanyak 36.7 peratus manakala pembiayaan pertanian teras menokok 12.5 peratus.

Agrobank, sebuah institusi pembangunan kewangan (DFI) dengan mandat pembangunan pertanian, turut menyaksikan bahagian pembiayaan bagi sektor agromakanan berkembang sebanyak 13 peratus dan melepasi pertumbuhan industri perbankan sebanyak 3.6 peratus bagi sektor berkenaan.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Alwi Mohamed Sultan berkata pertumbuhan kukuh yang diraih pada tahun lepas juga adalah seiring dengan Pelan Strategik Perniagaan Agrobank 2016-2020 (SBP 2016-2020) yang turut dipacu oleh pertumbuhan menyeluruh sektor pertanian negara ini.

“Bank ini melaksanakan beberapa inisiatif strategik dalam SBP 2016-2020 bagi merangsang keuntungan dan pertumbuhan selain mengukuhkan kualiti aset. Pada masa sama, kami juga terus menumpukan mandat dalam sektor perniagaan, termasuk agromakanan, pertanian teras serta komoditi.

“Pencapaian kami turut disokong oleh peningkatan dalam sektor pertanian yang mencatat pertumbuhan sebanyak 7.2 peratus pada 2017 selepas susut 5.1 peratus pada 2016,” katanya.

Syed Alwi berkata permintaan kukuh terhadap minyak sawit juga disebabkan oleh pemulihan persekitaran cuaca susulan musim kemarau pada tahun lepas dan disokong oleh peningkatan 2.0 peratus dalam sektor kecil agromakanan.

Pada 2017, sektor pertanian menyumbang 8.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM1.16 bilion, katanya.

Malah, walaupun Malaysia beralih kepada ekonomi berasaskan industri dan perkhidmatan, sektor pertanian kekal menjadi komponen penting KDNK.

Sejak penubuhannya dalam 1969, Agrobank turut memainkan peranan dalam pertumbuhan sektor pertanian dengan menyediakan akses kepada modal dan pembiayaan menerusi rangkaian penyelesaian pembiayaan merangkumi aktiviti huluan, pertengahan dan hiliran dalam ekosistem pertanian.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here