UPNM terima 627 pelajar

0
46



Kuala Lumpur: Seramai 627 penuntut terpilih melanjutkan pengajian asasi dan diploma di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi sesi 2017/2018.

Naib Canselor UPNM Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, penuntut asasi mengikuti empat program ditawarkan iaitu Asasi Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Asasi Kejuruteraan, Asasi Sains dan Teknologi Pertahanan serta Asasi Perubatan.

Katanya, bagi diploma pula tiga program ditawarkan iaitu Diploma Pengurusan Logistik, Diploma Pentadbiran Perniagaan dan Diploma Ketangkasan Pertahanan.

“Pengajian di UPNM amat unik dan berbeza dengan universiti lain kerana penuntut diwajibkan mengikuti latihan ketenteraan.

“Malah setiap penuntut lelaki akan merasai pengalaman menjadi khatib membaca khutbah Jumaat sekali sepanjang berada di UPNM ini,” katanya dalam Majlis Bacaan Ikrar Minggu Perkasa Jati Diri Program Asasi Pertahanan dan Program Diploma Sesi Akademik 2017/2018 di UPNM di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPNM Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPNM Prof Emeritus Datuk Dr Tengku Mohd Tengku Sembok serta Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPNM Kol Prof Ir Dr Norazman Mohamad Nor.

Zulkifli berkata, UPNM menerapkan enam karakter pemimpin kepada penuntutnya antaranya satu sukan satu penuntut yang bermakna bukan sekadar dilatih sebagai atlet tetapi lebih daripada itu untuk menjadi jurulatih, pengadil dan pegawai sukan.

Katanya, penuntut turut diwajibkan mengikuti latihan tempur tanpa senjata (TTS) bagi pegawai kadet dan seni mempertahankan diri untuk penuntut awam.

“Mereka juga dilatih menjadi imam atau ketua bagi agama lain, menjadi insan budiman, dapat bergraduat dan ditauliahkan sebagai pegawai tentera,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here