Usaha transformasi sosio-ekonomi ECER dapat pengiktirafan global

0
78



DUBAI: Agenda transformasi sosio-ekonomi kerajaan bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang dilaksanakan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila ia memenangi Anugerah Tadbir Urus Baik Global (3G) bagi Program Transformasi Ekonomi Terbaik 2017 di sini, pada Selasa.

Tiga program transformasi ekonomi lain dicalonkan bagi kategori anugerah yang sama ialah ”One Belt One Road” dari China, ”The China Pakistan-Economic Corridor” dan ”The Transforming Kenya from Kenya”.

Anugerah itu, yang disampaikan oleh Pengerusi Pengasas Anugerah 3G , Profesor Humayon Dar merupakan pengiktirafan terhadap kejayaan Kerajaan Malaysia dalam mempercepatkan transformasi sosio-ekonomi dalam ECER menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi dan program meningkatkan pelaburan swasta dan awam dengan matlamat utama memperkasakan masyarakat dan meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh wilayah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata kejayaan program transformasi ECER jelas terbukti apabila lebih 140,000 pekerjaan baharu diwujudkan susulan pencapaiannya dalam menarik pelaburan projek bernilai RM102 bilion, pada Mac 2017, yang merupakan 92 peratus daripada sasaran pelaburan berjumlah RM110 bilion menjelang 2020.

Pelaburan itu membuka peluang pekerjaan bagi pekerja mahir serta dalam bidang teknikal dan pengurusan, mencerminkan peluang besar bagi tenaga kerja tempatan untuk mendapatkan pekerjaan berpendapatan tinggi yang lebih baik.

“Program pembangunan modal insan ECERDC yang holistik dan inklusif telah melatih generasi baharu pekerja mahir dan usahawan; majoritinya daripada masyarakat kurang bernasib baik di kawasan luar bandar bagi memenuhi permintaan baharu ini,” katanya kepada Bernama pada majlis anugerah itu.

ECERDC ialah badan berkanun yang menerajui pelaksanaan pelan induk ECER merangkumi Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor.

Setakat ini, 655,000 orang telah mendapat manfaat daripada semua projek dan program itu, yang mana 97 peratus adalah daripada kumpulan isi rumah berpendapatan bawah 40 peratus (B40).

Menyentuh mengenai kemenangan tersebut, Jebasingam berkata anugerah itu merupakan bukti usaha padu pihak berkepentingan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam memacu agenda transformasi negara.

“Anugerah ini merupakan pengiktirafan global yang menunjukkan kami melaksanakan sesuatu yang baik, yang mana semua program ECER dilaksanakan dengan mampan dan inklusif, memberi penekanan kepada peluang perniagaan dan pertumbuhannya, serta, memperkasakan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Teras ECER ialah rakyat, di mana semua projek dan program kami adalah berpaksikan kepada rakyat. Intipati ini perlu diterjemahkan menjadi tiga matlamat iaitu mewujudkan peluang pekerjaan, peluang usahawan dan pendapatan isi rumah yang lebih baik,” kata Jebasingam.

Pada masa hadapan, beliau berkata, pengembangan Pelabuhan Kuantan dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sejauh 600 kilometer akan menjadi projek pembawa perubahan bagi meningkatkan lagi jalan hubungan dan merangsang pelaburan swasta di ECER.

Anugerah 3G itu, yang diasaskan oleh Cambridge IF Analytica, organisasi berpangkalan di United Kingdom diberikan kepada kerajaan, korporat dan organisasi bukan kerajaan atas kecemerlangan dalam ketelusan, tadbir urus yang baik dan tanggungjawab sosial.

Para pemenang anugerah dipilih menerusi undian global dan para juri yang dianggotai personaliti terkemuka daripada kerajaan, industri dan ahli akademik.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here