Usahawan Malaysia digesa daftar harta intelek, elak dieksploitasi

0
51

KUALA LUMPUR: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menyarankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) segera mendaftarkan harta intelek masing-masing bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Pengarahnya Datuk Shamsiah Kamaruddin berkata gesaan itu dibuat kerana PKS di negara ini masih kurang kesedaran mengenai kepentingan untuk mendaftarkan harta intelek berbanding syarikat-syarikat besar.

“Sasaran kami adalah untuk memberi pendedahan kepada golongan ini (PKS) mengenai kepentingan perlindungan harta intelek seperti cap dagangan, paten, reka bentuk perindustrian, petunjuk geografi (GI) dan hak cipta mereka agar ia tidak mudah ditiru atau diciplak oleh pihak lain.

“Antara sebab usahawan PKS ini tidak membuat perlindungan harta intelek adalah kerana kekurangan pengetahuan tentang harta intelek produk mereka selain mempunyai tanggapan bahawa proses perlindungan harta intelek adalah rumit dan melibatkan kos yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan MyIPO dan Sambutan Bulan Kemerdekaan di sini, pada Jumaat.

Shamsiah berkata bagi meningkatkan kesedaran itu, MyIPO mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Unit Pemandu Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Mac lepas MyIPO telah melaksanakan program IP Easy di tiga negeri dan akan diperluas ke negeri lain, bagi memberi gambaran jelas mengenai proses permohonan dan seterusnya memfailkan permohonan pendaftaran harta intelek masing-masing.

Sementara itu, Shamsiah berkata jumlah pendaftaran harta intelek masih lagi didominasi oleh syarikat dari negara asing seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun berbanding syarikat tempatan.

Katanya bagi 2017 sehingga Julai lalu, sebanyak 15,093 pendaftaran diterima daripada syarikat dari negara asing manakala 8,226 pendaftaran bagi syarikat tempatan.

Tidak kira kecil atau besar syarikat, pendaftaran harta intelek adalah penting kerana ia merupakan milik atau hak eksklusif bagi membolehkan pihak terbabit mendapatkan bayaran royalti jika digunakan pihak lain, katanya.

MyIPO adalah agensi yang dipertanggungjawabkan melindungi hak harta intelek di Malaysia bagi membantu rakyat tempatan terutama usahawan tradisional dan juga dalam talian untuk mendaftar dan melindungi harta intelek mereka.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here