Usia bukan ukuran

0
34



Johor Bahru: Pengendali Harimau Malaya Nelo Vingada sengaja tidak mahu memanggil pemain muda menyertai pasukannya kerana enggan persiapan skuad Bawah 22 tahun (B-22) untuk kempen kelayakan kejohanan Bawah 23 tahun (B-23) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 dan temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, tidak terjejas.

Katanya, hanya dua pemain B-22 disenarai untuk menjalani latihan bersama skuad senior – Matthew Davies serta Muhammad Nor Azam Abdul Azih – dan beliau akan memantau pemain muda berkualiti untuk diserapkan secara berperingkat.

Beliau juga menepis tanggapan sesetengah pihak kehadiran pemain berusia tidak mampu menjelmakan kejayaan dalam persiapan menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2019 dengan aksi pertama menentang Lubnan di Stadium Larkin, 13 Jun depan.

“Di Eropah terutama di Itali dan England, pemain yang berusia 34, 35 dan 36 tahun masih mampu memberi sumbangan dan relevan kepada pasukan masing-masing.

“Apa salahnya saya menggunakan pemain mencecah 30-an untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya kerana pengalaman mereka di peringkat antarabangsa adalah aset penting.

“Saya baru tiba di sini dan mengambil tugas selaku jurulatih. Saya memang tidak mengetahui secara mendalam bola sepak Malaysia dan tugas untuk menaikkan imej negara akan dipikul dengan sebaik mungkin.

“Tiada alasan untuk saya membuat persiapan sebaliknya dalam permainan bola sepak apa yang diutamakan adalah kerjasama berpasukan dan meraih keputusan positif. Malah, saya tidak membandingkan mana-mana pemain mengenai usia mereka kerana apa yang dititik berat adalah kualiti pemain,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pertama skuad Harimau Malaya di Pusat Latihan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Padang Seri Gelam, kelmarin.

Vingada yang sinomin dengan panggilan ‘The Professor’ mendedahkan, untuk membentuk barisan pemain yang mantap, penekanan terhadap kombinasi, pengalaman serta bakat setiap pemain adalah sangat penting.

Katanya, setakat ini hanya 15 pemain yang sudah melaporkan diri bagi menjalani latihan manakala 11 yang lain sedang bersama Johor Darul Ta’zim (Johor DT) untuk kempen Piala AFC.

“Hanya Baddrol (Bakhtiar) tidak turun berlatih di padang dan menjalani latihan ringan saja kerana dia demam. Sebaik semua pemain dapat dikumpulkan, saya akan beri penekanan terhadap taktikal dan ketika ini tiada perancangan untuk mengadakan aksi persahabatan kerana apa yang diutamakan adalah latihan intensif dalam tempoh dua minggu menjelang perlawanan menentang Lubnan,” kata Vingada.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here