Usul desak Guan Eng ambil cuti dikemukakan kepada Speaker

0
81



TASEK GELUGOR: Usul mendesak agar Lim Guan Eng mengambil cuti daripada tugasnya sebagai ketua menteri telah diserahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata usul itu telah dikemukakan oleh Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid baru-baru ini, untuk mendapat kelulusan untuk dibahaskan dalam persidangan DUN yang akan bermula 19 Mei ini.

Katanya, Jahara turut mengemukakan satu lagi usul supaya semua penjawat awam yang didakwa di mahkamah perlu bercuti sehingga selesai keputusan kes masing-masing.

“Kedua-dua usul itu mempunyai objektif yang sama iaitu penjawat awam yang didakwa harus bercuti supaya tidak menjejaskan perbicaraan kes kerana prinsip itu telah termaktub dalam tatacara penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri, di sini hari ini.

Beliau berharap Speaker boleh meluluskan kedua-dua usul itu supaya ia dapat dibahaskan dalam persidangan kali ini berikutan Lim kini berdepan pendakwaan di mahkamah atas dua tuduhan rasuah.

Lim menghadapi dua tuduhan rasuah iaitu berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here