Valverde sah pengurus baru Barcelona

0
36



Barcelona: Jurulatih Sepanyol, Ernesto Valverde diberi tanggungjawab mengubah nasib Barcelona selepas disahkan sebagai bos baru kelab gergasi Catalunya itu dengan kontrak dua tahun, semalam.

“Valverde mempunyai keupayaan, penilaian, pengetahuan dan pengalaman. Beliau mengembangkan bakat pemain muda dan beliau mempunyai cara Barca,” ujar presiden kelab Josep Maria Bartomeu.

Valverde, dengan kontraknya termasuk pilihan bagi musim ketiga, akan diperkenalkan secara rasmi esok.

Valverde, 53, bekas pemain Barca yang meninggalkan Athletic Bilbao selepas empat tahun membimbing kelab itu minggu lalu, menggantikan Luis Enrique dengan tugas menggunakan sepenuhnya keupayaan skuad bintang termasuk Lionel Messi, Neymar dan Luis Suarez.

Enrique menamatkan musim ketiga sebagai pengurus dengan trofi kesembilan apabila menjuarai Piala Raja Sepanyol mengalahkan Alaves pada final, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, tekanan seharian di Nou Camp menyebabkannya mengumumkan Mac lalu beliau akan meninggalkan kelab itu pada hujung musim sebelum Barca terlepas kedua-dua kejuaraan La Liga dan Liga Juara-Juara musim ini.

Di sebalik bukannya nama besar di luar Sepanyol, Valverde mempunyai pengalaman luas selepas mengendalikan lebih 500 perlawanan.

Satu-satunya kejayaan sebagai pemain hadir ketika dua tahun beraksi di Barcelona di bawah kendalian Johann Cruyff antara 1988 dan 1990 apabila dia menjulang Piala Pemenang Piala dan Piala Raja Sepanyol.

“Beliau mempunyai lebih pengalaman berbanding saya. Beliau patut menikmatinya,” kata Enrique apabila ditanya apa nasihatnya kepada Valverde selepas menang 3-1 ke atas Alaves pada perlawanan terakhir kendaliannya. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here