Van Avermaet kekal jersi kuning

0
325
Advertisement



LE GRAND-BORNAND, Perancis: Pelumba Perancis, Julian Alaphilippe memastikan kemenangan sulung saingan peringkat Tour de France (TdF) semalam ketika bintang Belgium, Greg Van Avermaet mengekalkan jersi kuning.

Alaphilippe dari Quick Step melancarkan serangan bersendirian pada pendakian ketiga dan terakhir dan terus berkayuh secara solo ke garisan penamat beberapa minit di depan peloton dalam saingan hari pertama di pergunungan Alps.

Dijangka akan memberi cabaran kepada pendahulu sebelumnya, Van Avermaet untuk memakai jersi kuning pada peringkat ke-11, pasukan Sky diketuai juara bertahan Chris Froome gagal menguasai cabaran walaupun pelumba terbaik mereka, Geraint Thomas berada 43 saat di belakang pelumba Belgium itu dalam senarai keseluruhan.

Van Avermaet yang bukannya pakar pendaki, tampak akan terancam pada permulaan perlumbaan sejauh 158.5 kilometer dari Annecy yang menampilkan empat kategori pendakian bersama penamat menurun bukit dekat Le Grand Bornand.

Bagaimanapun pelumba BMC itu mengatasi jangkaan, menyertai pelumba yang melakukan pemecahan awal dan membina jarak yang bagus di depan peloton seterusnya menggagalkan sebarang usaha Sky untuk mengawal perlumbaan.

Pada penamat, Van Avermaet menunjukkan persembahan hebat untuk menamatkan kayuhan 1 minit 43 saat di belakang Alaphilippe manakala Thomas, Froome dan Team Sky ketinggalan lebih tiga minit di belakang pemenang.

Dalam senarai keseluruhan, Van Avermaet kini mendahului Thomas yang sebelumnya di tangga kedua dengan 2:22s manakala Alejandro Valverde (Movistar) di kedudukan ketiga dengan 3:10s.

Froome yang berusaha mencari kemenangan keempat berturut-turut dalam Grand Tour dan kelima secara keseluruhan, kini di tangga keenam, ketinggalan 3:21s.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here