Vettel 'kembali' pantas di sesi latihan

0
222
Advertisement



BUDAPEST, Hungary: Pelumba Ferrari, Sebastian Vettel mengakui lega dapat ‘kembali bekerja’ selepas mengharungi beberapa hari yang sukar dengan mencatatkan masa terpantas sesi latihan kedua Grand Prix (GP) Hungary, hari ini.

Pemandu kelahiran Jerman itu bertekad untuk bangkit selepas penyingkiran memalukan di gelanggang sendiri, GP Jerman pada minggu lalu selain kematian bekas Pengerusi Ferrari, Sergio Marchionne pada Rabu.

“Saya fikir mungkin perkara terbaik adalah berada di dalam jentera kerana semua orang tahu apa yang perlu dilakukan,” kata Vettel.

“Jelas, ia tidak mudah, tetapi saya fikir kerja yang dilakukan pada hari ini baik. Berdepan dengan banyak kerja di depan kamu mungkin perkara paling baik untuk melegakan fikiran dan fokus terhadap kerja yang kami ada di sini.

“Mungkin juga bagus untuk terus berlumba dan fokus terhadap apa yang perlu dilakukan berikutnya.”

Sebagai penghormatan terhadap Marchionne, jentera Ferrari dilekatkan dengan jalur hitam yang menyaksikan Vettel tampil dengan kelajuan yang konsisten pada hari yang panas di Litar Hungaroring.

Vettel mengalami kemalangan di GP Jerman ketika sedang mendahului menyaksikan pencabar utamanya dari Mercedes, Lewis Hamilton meraih kemenangan sekali pun bermula di petak ke-14.

Ketinggalan 17 mata di belakang Hamilton dalam pemburuan kejuaraan dunia Formula Satu, Vettel mengakui dia perlu mengatasi masalah emosi dan ketegangan mental sejak beberapa hari lalu tetapi gembira dengan kerja yang dilakukan pasukan ketika ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here