Wajah ceria 8 beranak

0
53



Kluang: “Terima kasih kepada Harian Metro dan semua yang membantu, sekurang-kurangnya ada keceriaan di wajah anak Ramadan ini,” kata Shilla Borhan, 32, ibu kepada tujuh anak yang terharu dengan keprihatinan masyarakat membantunya selepas kisah kesengsaraan hidupnya disiarkan akhbar ini Isnin lalu.

Menurut Shilla yang kini tinggal di rumah neneknya, Alimah Said, 72, di Kampung Gunung Lambak 2, di sini, dia terharu dengan perhatian masyarakat terhadapnya dan anak selepas suami menghilangkan diri sejak lima bulan lalu.

Dia bersyukur kerana dihubungi Pasaraya Econsave Kluang untuk menyalurkan bantuan terutama bagi membeli barangan membuat biskut raya dan pakaian anaknya.

“Selain barangan membuat kuih dan pakaian anak, kami menerima barangan keperluan dapur seperti beras dan minyak masak selain susu serta lampin pakai buang untuk anak berumur tujuh bulan.

“Semua ini tidak saya peroleh jika tanpa keprihatinan akhbar ini yang menyiarkan kehidupan saya yang sememangnya mengharapkan bantuan apatah lagi ketika umat Islam menjalani ibadah puasa dan menyambut hari raya bulan depan,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan yang disampaikan Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam di Pasaraya Econsave Kluang, di sini, semalam.

Selain barangan keperluan berkenaan, Shila turut menerima sumbangan khas diberikan UMNO Bahagian Kluang yang disampaikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Md Norhalim Md Amin.

Shila berkata, dengan adanya peralatan dan barangan kelengkapan untuk membuat biskut dan kek ini membolehkan dia dan keluarganya mendapat pendapatan lumayan sepanjang Ramadan ini melalui penjualan biskut raya yang ditempah pelanggannya.

Sementara itu, Md Norhalim Md Amin berkata, semua perkara membabitkan kebajikan Shila dan tujuh anaknya sentiasa di dalam perhatian pihaknya melalui tindakan susulan selepas Aidilfitri nanti.

“Kami mencadangkan keluarga ini ditempatkan di Taman Bersatu melalui bantuan Yayasan Perbandaran Kluang (YPK) dan Pejabat Daerah Kluang sebagai pemilik kawasan penempatan itu.

“Selain itu, dicadangkan tiga anaknya yang kini bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Datuk Abdul Rahman Yassin dipindahkan ke Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Seri Intan kerana berdekatan dengan kediaman mereka nanti,” katanya.

Harian Metro Isnin lalu menyiarkan laporan Shila bersama tujuh anaknya berusia tujuh bulan hingga lapan tahun tiada pilihan melainkan mengharapkan ihsan neneknya selepas mendakwa ditinggalkan suami tanpa nafkah.

Shila yang menyewa di Taman Seri Impian di sini terpaksa keluar dari rumah itu kerana tidak mampu membayar sewa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here