Wajib daftar anak lahir di Malaysia

0
26



Kuantan: “Warga asing termasuk pendatang haram yang melahirkan anak di Malaysia wajib mendaftarkan anak mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” kata Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohd Yazid Ramli.

Beliau berkata, walaupun bukan warga negara warga asing wajib mendaftarkan anak mereka sebelum pergi ke kedutaan masing-masing untuk urusan seterusnya.

“Di JPN kami mendaftarkan setiap kelahiran tanpa mengira status. Jika lahir di Malaysia perlu daftar di Malaysia. Jika tidak daftar mungkin menyebabkan berlaku kesukaran pada masa akan datang,” katanya, di sini, baru-baru ini.

Katanya, jika terlewat mendaftarkan kelahiran, ibu bapa masih boleh berbuat demikian.

“Selepas mendaftar, anak warga asing ini kita akan bagi sijil pendaftaran dan mereka boleh membawanya untuk urusan seterusnya di kedutaan masing-masing.

“Selain itu, untuk permohonan sijil kematian membabitkan warga asing juga perlu melalui JPN. Jika meninggal (mati) di Malaysia perlu juga mendaftarkan dengan JPN untuk tujuan mendapatkan sijil kematian,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yazid berkata, orang ramai mempunyai masalah berkaitan pendaftaran boleh berurusan di mana-mana pejabat JPN di seluruh negara bagi mendapatkan khidmat nasihat dan mengemukakan permohonan.

“Kita mempunyai pejabat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara yang beroperasi di luar waktu pejabat biasa iaitu tujuh hari seminggu dari jam 8.30 pagi hingga jam 9 malam.

“Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal rasmi JPN iaitu www.jpn.gov.my,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here