Wan Kuzri gegar AS

0
76



Kuala Lumpur: Arena bola sepak Amerika Syarikat (AS) terus digegarkan dengan impak ‘anak Melayu’ apabila anak bongsu pasangan Malaysia menetap di bumi ‘Uncle Sam’, Wan Kuzri Wan Kamal pula dipanggil menyertai latihan pusat skuad remaja negara itu.

Wan Kuzri, 15, yang juga adik Wan Kuzain, pemain kedua berjaya menarik perhatian pasukan remaja kebangsaan AS selepas abangnya turut pernah disenaraikan ke dalam skuad Piala Dunia Bawah 17 (B-17) negara itu, awal tahun lalu.

Berita istimewa itu diumumkan menerusi laman web rasmi Persekutuan Bolasepak Amerika Syarikat (USSF) yang turut menyatakan Wan Kuzri dipilih bersama 63 pemain remaja dari seluruh negara untuk menyertai kem latihan lima hari bermula 26 Mei hingga 30 Mei ini.

Menerusi panggilan ini, Wan Kuzri menjadi pemain kedua dari Akademi St Louis Scott Gallagher (SLSG) Illinois yang dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan sejak 2013.

Akhbar tempatan melaporkan Wan Kuzri begitu teruja selepas menerima panggilan kem latihan skuad remaja dan tidak sabar untuk membuktikan kemampuannya.

“Saya begitu berbesar hati dan teruja apabila diberi peluang untuk menimba pengalaman dan mendapat tunjuk ajar di peringkat kebangsaan.

“Ia akan menjadi peluang terbaik untuk saya membuktikan kemampuan pada skala lebih besar bagi membawa nama SLSG,” katanya.

Arena Metro sebelum ini pernah melaporkan perkembangan karier abangnya, Wan Kuzain atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Messi Amerika’ yang pernah mewakili skuad B-17 AS.

Bukan itu saja, Wan Kuzain juga muncul selaku anak Malaysia pertama bergelar pemain profesional dalam Liga Soccer United (USL) dengan membarisi kesebelasan utama Swope Park Rangers.

Menerusi perkembangan terbaru itu, mungkinkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang kini diterajui Tunku Ismail Sultan Ibrahim berminat untuk memikat pasangan adik-beradik itu bagi membintangi skuad Harimau Malaya.

Bagaimanapun, Wan Kamal sebelum ini pernah mengesahkan FAM langsung tidak pernah cuba menghubungi mereka yang sudah menetap di Carbondale, Illinois, AS sejak dua dekad lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here