Wang, buku percuma galakan bayar zakat awal

0
48



Dalam usaha menggalakkan umat Islam mengeluarkan zakat masing-masing, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah kini menawarkan pelbagai insentif kepada pembayar awal.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ, Mohd Rais Alias, berkata sesiapa yang mengeluarkan zakat melalui kemudahan atas talian yang disediakan agensi itu, mereka layak menyertai cabutan bertuah.

Katanya, antara hadiah yang menarik ialah tajaan Bank CIMB Islamik yang menjanjikan RM10,000 kepada 14 pembayar bertuah.

Untuk melayakkan hadiah itu dimenangi, Mohd Rais berkata, bayaran boleh dilakukan melalui khidmat atas talian bank berkenaan.

Tidak ketinggalan ialah peluang cabutan bertuah bernilai RM250 setiap satu untuk 20 pembayar awal kepada PPZ melalui portal agensi berkenaan.

“Objektif kempen ini adalah bagi menggalakkan orang ramai berzakat walau di mana mereka berada kerana kemudahan untuk melaksanakannya ada di hujung jari,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Dataran Shamelin Kuala Lumpur hari ini.

Bagi 10,000 pembayar zakat awal melalui kaunter bergerak PPZ pula, mereka ditawarkan buku edisi khas tulisan Mufti Wilayah Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berjudul Ramadan Menyinari Harta dan Jiwa.

Kata Mohd Rais, buku itu akan diagihkan secara percuma kepada pembayar awal zakat berkenaan.

Beliau juga menyatakan, kaunter zakat PPZ dibuka setiap hari bagi membolehkan umat Islam ini menunaikan kewajiban masing-masing dengan lebih mudah.

Selain boleh membayar zakar di kaunter, mereka turut menyediakan perkhidmatan itu di Pusat Transformasi Bandar (UTC) antara jam 8.15 pagi hingga 5 petang.

“PPZ menyediakan pelbagai perkhidmatan tujuh hari seminggu. Bagi mereka yang tak boleh datang pada hari biasa, boleh datang pada Sabtu dan Ahad,” katanya.

Beliau juga menyarankan zakat dibayar lebih awal bagi mengelakkan umat Islam terleka terutama ketika menjelang hari raya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here