Wanita paling berat berjaya makan sendiri

0
28


ABU DHABI: Buat kali pertama dalam tempoh 25 tahun, Eman Ahmed, wanita Mesir yang menjalani pembedahan menurunkan berat badan di India, berjaya makan sendiri, kata doktor yang merawatnya di sebuah hospital di sini.

Akhbar Hindustan Times memetik doktor sebagai berkata, wanita berusia 36 tahun itu yang satu ketika dulu memiliki berat badan lebih 500 kilogram kini menunjukkan perkembangan baik dan tersenyum, menonton televisyen serta menerima tetamu.

Akhbar berkata, Ahmed menjalani rawatan menurunkan berat badan selama tiga bulan di Hospital Saifee Mumbai sebelum dipindahkan ke Hospital Burjeel di sini 4 Mei lalu.

Katanya, tangan kanan wanita itu hampir mencapai keadaan normal dan beliau boleh duduk tanpa sebarang sokongan selama 10 hingga 15 minit.

Bahagian kanan tubuh wanita itu lumpuh selepas diserang strok ketika berusia 11 tahun, mengehadkan pergerakannya.

Ahmed memiliki berat badan 504 kilogram ketika tiba di Mumbai 11 Februari lalu dan dianggap wanita paling berat di dunia.

Doktor di Hospital Saifee berkata, pembedahan bariatrik dan rejim diet ketat membantu wanita itu menurunkan berat sebanyak 300 kilogram. -AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here