Wanita rentung di rumah mentua

0
11



Kuala Terengganu: Seorang wanita berusia 31 tahun ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Kepong, di sini, petang semalam.

Kejadian jam 4 petang meragut nyawa Siti Nor Munirah Abu Bakar, 31, yang ketika itu dipercayai berada di tingkat atas rumah berkenaan.

Ibu mentua mangsa, Minah Endut, 62, berkata, ketika kejadian dia bersama anaknya, Rabiatul Adawiyah Ahmad, 25, berada di sebuah pasar raya dan sebelum itu menerima panggilan mengenai kejadian terbabit lalu bergegas pulang.

Menurutnya, setibanya di rumah didapati mangsa tiada bersama orang ramai yang berada berdekatan menyaksikan kebakaran terbabit.

“Ketika itu baru kami sedar mungkin menantu saya terperangkap dalam rumah sebelum meminta anggota bomba mencarinya.

“Akhirnya, dia ditemui rentung di dalam rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Menurutnya, anak lelakinya, Abdul Mukmin Ahmad, 35, bernikah dengan mangsa pada Mac lalu dan pada 28 Jun baru-baru ini keluarganya mengadakan majlis menyambut menantu yang diadakan bersama majlis perkahwinan seorang lagi anaknya.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Sharikan Bustaman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran jam 4.33 petang sebelum 16 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu bergegas ke lokasi.

“Ketika pasukan bomba tiba di lokasi, kediaman berkenaan 80 peratus terbakar tetapi kebakaran dikawal daripada merebak ke rumah sebelah jam 5 petang.

“Mayat mangsa ditemui jam 6 petang dan kita percaya mangsa dalam keadaan lemah dari tingkat atas sebelum jatuh ke bawah bersama lantai yang terbakar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here