Wartawan CCTV ditahan di Bangkok miliki topeng gas

0
32


TONY Cheng berkhidmat dengan stesen penyiaran China, CCTV. – Foto CCTV

BANGKOK: Wartawan warga Britain berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun, selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi kerana memiliki topeng gas dan plat besi bagi jaket kalis peluru.

Ketika ditahan, Tony Cheng yang berkhidmat dengan stesen penyiaran China, CCTV dalam perjalanan ke Mosul, Iraq.

Beliau ditahan bersama rakan sekerjanya, iaitu warga Jerman, Florian Witulski.

Sebelum ini, mereka pernah melaporkan keadaan perang antara tentera kerajaan dan kumpulan militan Daesh di Mosul pada Mac lalu.

Sementara itu, pemilikan topeng gas dan jaket balistik diklasifikasikan sebagai ‘senjata perang’ mengikut undang-undang Thailand dan memerlukan lesen, iaitu sesuatu yang sukar untuk diperoleh walaupun sering digunakan oleh wartawan di seluruh dunia.

Cheng didakwa melanggar Undang-Undang 1987 dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, iaitu undang-undang yang dikritik hebat kumpulan media.

“Seorang warga British ditahan dan dituduh memiliki senjata perang secara haram pada malam semalam di lapangan terbang,” kata jurucakap polis Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Somchart Maneerat kepada AFP, hari ini.

Dalam pada itu, Witulski sudah dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan, manakala, Cheng dibebaskan tengah hari tadi, selepas isterinya membayar wang jaminan sebanyak AS$3,000 (RM12,848) dan menyerahkan pasportnya.

AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here