Waspada dengan pemberian pinjaman wang haram – BNM

0
26

KUALA LUMPUR: Orang ramai harus berwaspada terhadap aktiviti pemberian pinjaman wang haram oleh pihak yang menggunakan lesen pemberian pinjaman wang palsu yang kononnya dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, BNM menjelaskan tujuan penipuan adalah untuk memperdaya orang ramai supaya mempercayai bahawa mereka ialah pemberi pinjaman wang berlesen dan mengaburi orang ramai untuk membuat pembayaran awal bagi pelbagai tujuan yang berkaitan dengan pinjaman seperti perbelanjaan pentadbiran, duti setem dan yuran guaman.

Kegiatan penipuan ini dijalankan melalui laman sesawang, media sosial, panggilan telefon, sistem pesanan ringkas (SMS), emel atau dalam bentuk komunikasi lain.

“BNM ingin memaklumkan bahawa kami tidak mengeluarkan lesen pemberian pinjaman wang. Perniagaan pemberian pinjaman wang dikawal selia di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan ditadbir oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“BNM juga ingin menggesa semua mangsa penipuan kewangan di atas untuk membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia bagi memudahkan siasatan,” kata kenyataan itu.

Orang ramai dinasihati supaya merujuk senarai institusi yang dilesenkan atau diluluskan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh BNM sebelum menjalankan apa-apa urus niaga perniagaan atau pelaburan.

Senarai institusi boleh didapati melalui www.bnm.gov.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here