Wee Wern mudah atasi Sivasangari

0
263
Advertisement



JAGUH skuasy kebangsaan, Low Wee Wern tidak berdepan masalah menewaskan juara kebangsaan, S Sivasangari bagi menempah tiket ke final kategori wanita Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia, esok.

Dalam aksi separuh akhir, bekas pemain nombor lima dunia itu, kelihatan bersungguh-sungguh dalam setiap perlawanan, tidak menghadapi masalah besar untuk menundukkan Sivasangari 11-6, 11-8, 11-9 di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Dalam aksi final esok, Wee Wern akan menentang pemain Jepun, Satomi Watanabe. Satomi pula menempah tiket ke final selepas menewaskan pemain Mesir, Omneya Abdel Kawy 11-4, 11-5, 11-6 di pusingan separuh akhir.

Wee Wern, yang pertama kali beraksi selepas berehat lebih 20 bulan akibat kecederaan lutut, sebelum ini kalah lima set kepada Sivasangari di aksi final Kejohanan Nasional Ohana, pada awal bulan ini.

Aksi final Kejohanan Skuasy Kebangsaan menjadi penentu calon pemain bakal mengisi slot kedua selepas Nicol David, untuk bertanding dalam acara individu di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 bulan depan. Wee Wern dijangka bertanding dalam acara berpasukan di Sukan Asia 2018.

“Saya gembira kerana menang hari ini tetapi ia tidak sehebat Kejohanan Kebangsaan yang membolehkan saya dipilih mewakili ke Sukan Asia,” katanya Wee Wern.

“Walaupun, saya sudah kehilangan peluang ke Sukan Asia tetapi sekurang-kurangnya saya kembali menemui rentak dalam kerjaya PSA (Persatuan Skuasy Profesional). Saya dapat rasakan sebahagian daripada permainan saya sudah pulih seperti biasa.

“Kejohanan Kebangsaan adalah pertandingan pertama saya sertai selepas melakukan penampilan semula dan saya memerlukan beberapa perlawanan lagi untuk kembali beraksi seperti biasa (dalam perlawanan menentang Sivasangari di final).

“Saya hanya mempunyai masa kira-kira seminggu untuk mengkaji corak permainannya (Sivasangari) selepas kalah kepadanya dan banyak peningkatan dapat dilihat hari ini. Saya hanya perlu terus berlawan untuk kembali cergas seperti biasa umpama sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, pemain Mesir, Abdulla Mohd Al Tamimi berhempas pulas selama sejam 27 minit untuk menyingkirkan pemain pilihan utama, Leo Au dari Hong Kong, dengan keputusan 8-11, 11-2, 7-11, 11-9, 11-9, dalam saingan separuh akhir acara lelaki.

Abdulla, pemain nombor 33 dunia, akan bertemu dengan pemain pilihan kedua, Tsz Fung Yip dari Hong Kong, yang juga pemain ranking ke-29 dunia, di final.

Pada aksi separuh terakhir, Fung Yip mengalahkan pemain Perancis, Lucas Serme, 11-7, 8-11, 11-7, 11-7 dalam pertarungan selama 50 minit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here