WeMalaysia AS bantu pelarian Syria sempena Aidilfitri

0
10

KUALA LUMPUR: Bantuan WeMalaysia Amerika Syarikat (AS) kepada pelarian-pelarian Syria di kawasan sekitar Washington dilihat platform menghayati maksud di sebalik sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Koordinator WeMalaysia AS Nasnoor Juzaily Mohd Nasiruddin berkata, ia sekali gus aktiviti sokongan kepada program ‘Month of Blessings: Here for Refugees’ anjuran Persatuan Pelajar Malaysia Washington-DC (MASA DC).

“Kami ingin mengajak semua muslimin muslimat terutamanya pelajar-pelajar Malaysia di bumi AS untuk menghayati maksud di sebalik sambutan Hari Raya Aidilfitri. Aidilfitri merupakan simbol kemenangan selepas kita berjaya melawan lapar dan dahaga serta dalam masa yang sama membentuk diri untuk lebih bersifat sabar, bersemangat dan kekal cergas.

“Dalam kita bergembira meraikan kemengan ini, jangan pula dilupa kepada yang kurang bernasib baik. Program ini telah berjaya mengumpul sumbangan wang tunai hampir RM26,000 (US$6,000) dari pelbagai pihak dan individu bagi membantu pelarian-pelarian Syria di kawasan sekitar Washington.

“Wang sumbangan ini telah digunakan untuk membeli barang-barang keperluan makanan yang dijangka mampu bertahan untuk sebulan kepada lebih 100 keluarga pelarian Syria,” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Ihya Ramadan WeMalaysia bawa bubur lambuk ke Australia

BACA: 

Pelajar ejen promosi budaya Malaysia di luar negara – Fiona Kee

Jelasnya, majlis penyerahan sumbangan telah diadakan pada 24 Jun 2017 di Charities Diocese of Arlington, Vienna.

Ketika ditanya mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri di AS, Nasnoor menjelaskan;

“Walaupun berada beribu batu dari tanah air, Hari Raya Aidilfitri masih disambut dengan meriah di AS. Rumah terbuka Kedutaan Besar Malaysia Washington DC menjadi tumpuan apabila lebih 500 warga Malaysia pelbagai agama dan bangsa yang hadir memeriahkan sambutan.

“Inilah keunikan yang ada pada Malaysia, semangat hidup secara harmoni berbilang bangsa masih kuat walau berada di bumi asing. 

“Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah bersyukur dan merasa bertuah kerana dapat hidup bersama-sama secara harmoni dan bertoleransi di antara kaum di dalam sebuah negara yang aman dan makmur.”

Katanya lagi, kesedaran semangat perpaduan itu hendaklah dikekalkan dan dipegang teguh untuk diwariskan kepada generasi akan datang yang bakal menggalas tangunggjawab memimpin dan memacu kemajuan negara.

“Di kesempatan ini, WeMalaysia AS ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua rakyat Malaysia samada di tanah air atau di perantauan.

“Semoga budaya muhibbah antara kita berkekalan selamanya,” ujarnya.

WeMalaysia merupakan sebuah gerakan terbuka yang digerakkan pelajar Malaysia di luar negara.

Sehingga kini, WeMalaysia mempunyai cawangan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom (UK).

SHARE
Previous articleBas paling 'popular'
Next articleWeiser wira Jerman

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here