Wespen intai lelaki pula

0
23
Advertisement



SELEPAS pasukan wanitanya mengikat Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti, Wespen Zehlendorfer kini sedang mengintai tiga lagi pemain hoki negara tetapi kali ini bagi pasukan lelakinya yang beraksi dalam saingan Divisyen Satu Liga Jerman.

Berita menggembirakan itu disahkan pengendali baharu pasukan lelaki Wespen, Kevin Lim yang menyatakan minat mendapatkan pemain tengah Ashran Hamsani serta pertahanan Shazril Irwan Nazli dan Najmi Farizal Jazlan.

Bagaimanapun, bekas pemain negara yang berpangkalan di Jerman itu, mengesahkan kemungkinan khidmat mereka hanya akan diintai pada separuh kedua musim kerana tarikh pendaftaran pemain sudah ditutup bagi saingan liga yang membuka tirainya pada 1 September depan.

“Untuk separuh musim pertama kami tidak akan menggunakan khidmat pemain dari Malaysia kerana ketika ini mereka sibuk dengan persiapan ke Sukan Asia dan Piala Dunia.

“Sudah tentu sukar untuk Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) melepaskan pemain.

“Terdapat beberapa pemain Malaysia begitu berbakat seperti Meor Azuan Hassan, Izad Hakimi Jamaluddin, Najmi dan Marhan Jalil tetapi buat masa ini bergantung kepada keputusan di Sukan Asia, sekiranya layak ke Sukan Olimpik 2020 sukar untuk saya mendapatkan khidmat pemain-pemain ini.

“Buat masa ini saya melihat peluang untuk mendapat Najmi pada separuh kedua musim lebih cerah kerana dia tidak terikat dengan komitmen negara, Ahsran dan Shazril juga turut berada dalam fikiran saya,” katanya.

Apapun, Kevin tidak menolak sekiranya mengetahui lebih awal berita penarikan diri Najmi daripada skuad negara, kemungkinan beliau akan memujuk pakar flick muda negara itu menyertai Wespen sepanjang kempen musim ini.

“Jika tahu dari awal tidak salah untuk saya cuba memanggil Najmi, tetapi keputusan mengejutnya itu baru diketahui. Malangnya, tarikh pendaftaran pemain sudah ditutup pada 31 Julai lalu. Mungkin saya boleh cuba dapatkan khidmatnya pada jendela Februari nanti.”

Dalam pada itu, Kevin turut mendedahkan pihaknya cuba memancing khidmat bekas pemain negara, Baljit Singh dan Harvinder Singh tetapi ditolak selepas kedua-dua pemain itu terikat dengan komitmen peribadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here