Wujudkan pusat kajian Malaysia-China – Awang Sariyan

0
128
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat kajian khas antara Malaysia dan China perlu ditubuhkan bagi mengkaji semua aspek kepentingan kedua-dua negara berkenaan, demikian rumusan satu persidangan antarabangsa.

Pengarah Penyelidikan dan Penerbitan Institut Antarabangsa Peradaban Islam dan Dunia Melayu (ISTAC), Prof Datuk Dr Awang Sariyan, berkata pusat kajian itu turut disyorkan bertanggungjawab sebagai badan penasihat bagi kedua-dua negara.

“Antara lain, kita turut merumuskan untuk merangka asas kerjasama yang jelas dan tegas berkaitan soal kedaulatan, pembangunan, keselamatan dan ekonomi,” katanya ketika membentangkan rumusan Persidangan Antarabangsa Hubungan Tamadun Melayu-Tamadun China bertema “Melestarikan Kerjasama Bersepadu Untuk Masa Hadapan” di ISTAC, di sini, pada Isnin.

Cadangan bagi mewujudkan pusat kajian itu diusulkan Presiden Universiti Islam Malaysia (UIAM), Tan Sri Dr Rais Yatim semasa merasmikan persidangan itu, yang menyarankan supaya satu majlis penyelidikan China-Malaysia diwujudkan bagi mengkaji sejarah, budaya, ekonomi, keselamatan dan diplomasi kedua-dua negara.

Persidangan itu turut merumuskan beberapa cadangan dalam bidang pendidikan seperti menyediakan biasiswa dan program pertukaran pelajar serta petugas akademik di antara kedua-dua negara.

Usul lain turut dicadangkan adalah kerajaan baharu yang diterajui Pakatan Harapan, menyediakan lebih banyak geran khas dalam bidang penerbitan dan penterjemahan bahan bacaan daripada bahasa Melayu ke Mandarin, dan Mandarin ke bahasa Melayu. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here