Yingluck didapati bersalah, dihukum penjara lima tahun

0
36

MAHKAMAH Agung Thailand pada Rabu mendapati bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra bersalah tanpa kehadiran tertuduh kerana kecuaian dalam pelaksanaan skim subsidi beras yang menimbulkan kontroversi dan menjatuhi hukuman penjara lima tahun ke atasnya.

Seramai sembilan hakim Bahagian Jenayah bagi Pemegang Jawatan Politik Mahkamah Agung mengumumkan penghakiman yang telah lama dinanti-nantikan itu.

“Yingluck didapati bersalah mengikut Artikel 157 piagam kerana kecuaian mengabaikan tugasnya untuk menghentikan amalan rasuah,” kata seorang daripada hakim, Cheep Julamon, ketika membacakan penghakiman, di sini hari ini.

Adik kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, yang kini tinggal dalam buangan, tidak hadir pada prosiding hari ini untuk mendengar penghakiman mahkamah. Keberadaannya menimbulkan misteri sejak gagal hadir pada prosiding yang sama di mahkamah bulan lepas.

Kerana ketidakhadiran Yingluck, mahkamah menangguhkan keputusan sehingga Rabu.

Kerajaan mendakwa bahawa skim subsidi beras yang dilaksanakan semasa pentadbiran Yingluck menyebabkan negara itu menanggung kerugian kewangan yang besar walaupun bekas perdana menteri itu seringkali menafikan tuduhan sepanjang perbicaraannya selama dua tahun.

Yingluck menjadi perdana menteri wanita pertama Thailand pada 2011 selepas memenangi pilihan raya umum. Beliau digulingkan oleh junta tentera pada Mei 2014.

Sementara itu peguam Yingluck, Norawit Lahlaeng ketika ditemui media selepas penghakiman itu dibacakan berkata, beliau perlu mengkaji penghakiman sebelum memutuskan sama ada untuk mengemukakan rayuan ata tidak.

“Saya perlu mengkaji penghakiman itu dengan teliti, mengkaji undang-undang berkaitan, selepas itu barulah boleh bercakap mengenai rayuan,” kata beliau sambil menambah beliau tidak tahu sama ada anak guamnya tahu mengenai penghakiman tersebut tetapi menduga Yingluck akan mengetahuinya melalui media.

Menurutnya, beliau tidak berhubung dengan bekas Perdana Menteri itu sejak 25 Ogos bulan lepas apabila Yingluck gagal hadir di mahkamah atau mengetahui tentang keberadaannya sekarang dan mendorong media membuat spekulasi secara meluas.

Media tempatan dan asing mendakwa bahawa bekas Perdana Menteri itu berada di Dubai kerana abangnya, Thaksin mempunyai rumah di kota Timur Tengah itu.

Menurut sumber-sumber dalam kerajaan dan parti politik pimpinannya yang dipetik oleh media, Yingluck menyelinap keluar dari negara itu dua hari sebelum mahkamah sepatutnya menyampaikan penghakiman bulan lepas, dikatakan menuju ke sempadan Kemboja dan Singapura kemudian.

Kerajaan yang sejak itu menjalankan siasatan mengenai “kehilangan” Yingluck telah menahan tiga pegawai polis baru-baru ini termasuk seorang berpangkat Kolonel kerana disyaki membantu bekas Perdana Menteri itu melarikan diri dari negara itu.

Pihak berkuasa juga telah merampas sebuah kenderaan Toyota Camry, yang disyaki digunakan oleh Yingluck untuk melarikan diri.

Semalam, Perdana menteri Thailand, Jen Prayut Chan-o-cha mengumumkan bahawa kerajaan tahu tentang keberadaan Yingluck sekarang dan akan mendedahkan maklumat itu selepas mahkamah menyampaikan penghakimannya hari ini.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here