Yoke Meng puas hati

0
273
Advertisement



KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad remaja kebangsaan, Kwan Yoke Meng tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya dalam Kejohanan Asia walaupun gagal mengulangi pencapaian membawa pulang satu pingat emas tahun lalu.

Menurut bekas pemain kebangsaan itu, walaupun hanya meraih satu perak dan satu gangsa kali ini, pencapaian menewaskan juara bertahan, Korea Selatan di suku akhir dalam aksi berpasukan campuran adalah pencapaian yang wajar dibanggakan.

“Pemain bertarung sehingga ke set penentuan ketika menentang Korea Selatan serta banyak tenaga sudah hilang dan lebih malang satu jam setengah selepas itu kita terpaksa berentap dengan Jepun di separuh akhir.

“Bukan hendak cari alasan tapi kalau bermula dengan pemain masih lagi bertenaga, saya yakin kita mempunyai peluang untuk menang ke atas Jepun. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan pencapaian berpasukan campuran,” katanya.

Bagi acara individu pula, Yoke Meng berpuas hati dengan prestasi pemain muda yang berusia 16 tahun seperti Jacky Kok (perseorangan lelaki) dan Myisha Mohd Khairul (perseorangan wanita).

“Saya yakin ia pengalaman dan persediaan terbaik untuk mereka terutamanya untuk kejohanan bawah 15 dan 17 tahun di Myanmar.

“Pemain berpengalaman pula semuanya beraksi pada tahap yang saya mahukan terutama Chia Wei Jie (perseorangan lelaki), Chua Yue Chern (beregu lelaki).

“Wei Jie misalnya berjaya menumpaskan pilihan kelima dari Taiwan (Chen Shiau Cheng) di pusingan ketiga, manakala Ng Tze Yong walaupun pilihan ke-15 tetapi berjaya mara sehingga suku akhir sebelum tumpas kepada Ikhsan Leonardo Imanuel Rumbay (Indonesia).

“Pearly Tan-Toh Ee Wei pula berjaya mara ke final namun beraksi goyah,” katanya yang berharap pemain akan bekerja lebih keras bagi memantapkan permainan masing-masing menjelang Kejohanan Dunia di Kanada dari 5 hingga 10 November depan.

Satu emas yang diraih skuad negara tahun lalu menerusi Leong Jun Hao dalam acara perseorangan lelaki.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here