Yusni Hamid kagumi Siti Nurhaliza

0
28


KUALA LUMPUR: Penyanyi malar segar, Datuk Yusni Hamid, menyifatkan Datuk Siti Nurhaliza antara penyanyi yang masih hebat di liganya tersendiri.

Bukan sekadar Siti, malah Yusni yang terkenal dengan jolokan penyanyi diraja turut menamakan Ziana Zain dan Dayang Nurfaizah sebagai penyanyi yang berjaya memikat hatinya.

“Kehebatan Datuk Siti memang tidak dapat dinafikan lagi. Kami juga pernah beberapa kali terbabit menjayakan persembahan bersama-sama, termasuk di Istana Negara. Malah, saya juga masih teringat detik mengajarnya menyanyikan lagu Inggeris, ketika itu.

“Saya bagaimanapun akui kurang mengenali angkatan penyanyi baharu. Bukanlah saya tidak mengikuti perkembangan dunia seni, cuma kadangkala rasa macam tak terkejar sebab banyak sangat pertandingan nyanyian realiti, hari ini.

“Namun begitu, saya berasakan Yuna antara penyanyi baharu yang sangat unik dan berbeza. Malah, ada beberapa lagunya yang saya turut nyanyikan ketika membuat persembahan. Ziana dan Dayang Nurfaizah juga masih hebat. Yang lain itu saya tidak nampak sangat,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai rahsia vokalnya yang masih gemersik, Yusni percaya, semua itu anugerah daripada Yang Maha Esa.

“Saya sebenarnya tidak berpantang apa-apa pun, malah semua jenis hidangan saya makan. Syukur alhamdulillah, tiada apa-apa (perkara tidak elok) berlaku.

“Saya bagaimanapun percaya, setiap penyanyi memiliki gaya mereka tersendiri. Jadi, saya tidak pernah iri hati dengan kebangkitan bakat baru.

“Masing masing ada kelebihannya,” kata penyanyi yang cukup dikenali dengan lagu Ku Tak Mengerti ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here